7 Cara Simpan Duit Yang Praktikal Dan Boleh Dilaksanakan Dengan Mudah

Semua orang nak simpan duit. Tapi ramai antara kita, lebih-lebih lagi golongan muda, kurang mahir dalam pengurusan kewangan.

Dengan pelbagai dugaan seperti gajet terkini, percutian mewah, barangan berjenama, ramai yang berbelanja melebihi jumlah pendapatan bulanan.

Kredit gambar

Maka, tidak hairanlah, sejumlah 60% daripada keseluruhan individu muflis negara adalah dari golongan muda.

Jadi, dalam artikel kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda semua, tujuh cara mudah untuk menyimpan duit dengan lebih berkesan.

1. Formula mudah urus gaji

Kredit gambar

Ada banyak formula urus gaji yang anda boleh dapati di internet dan buku-buku panduan. Contohnya, ada yang sarankan formula 10-10-10-70, ada yang sarankan 50-30-20, ada juga yang sarankan 30-30-30-10.

Mana satu yang nak ikut ya?

Secara asasnya, formul-formula sebegini hanyalah panduan untuk anda menguruskan pendapatan bulanan dengan lebih bijak.

Jadi, sesuaikanlah formula tersebut dengan gaji dan komitmen bulanan anda.

Kredit gambar

Yang penting, saya sarankan agar anda utamakan simpanan dan tabung kecemasan sebelum anda berbelanja. Simpan sekurang-kurangnya 10% dari gaji anda – lebih banyak lebih baik!

Untuk tabung kecemasan, anda disarankan untuk menyediakan simpanan 3 hingga 6 bulan daripada pendapatan bulanan anda. Kalau gaji anda RM3000, usahakanlah untuk menyimpan sekurang-kurangnya RM9000-RM18000.

Dan, jikalau anda berkemampuan, jangan lupa untuk asingkan jumlah yang bersesuaian dengan pendapatan anda untuk perlindungan diri, seperti insurans atau takaful.

Ramai pakar yang turut mencadangkan agar anda gunakan maksimum 10% gaji. Contohnya, kalau gaji anda RM3000, cari perlindungan atau medical card dalam harga RM200-RM300, yang juga memberikan pelbagai kelebihan kepada anda.

2. Catat dan rancang perbelanjaan setiap bulan

Kredit gambar

Berapa ramai antara anda yang mencatat perbelanjaan harian?

“Kenapa nak kena catat – sedangkan kita sudah asingkan duit simpanan dan tabung kecemasan?”

Sebenarnya, bila kita tak catat setiap transaksi keluar-masuk duit, maka kewangan kita akan mula ‘bocor’. Sedar tak sedar, duit cepat habis dan kita sendiri tertanya-tanya ke mana pergi duit kita.

Dengan merekod setiap perbelanjaan, anda akan tahu ke mana duit kita mengalir dan berapa kita sudah spend. Jadi, anda pun boleh mengurus dan mengawal kewangan dengan lebih baik!

Cara mudah nak rekod perbelanjaan:

1. Guna buku nota.

Beli buku nota kecil yang mudah dibawa ke mana sahaja so that mudah untuk anda merekod perbelanjaan anda. Walau sekadar RM1, catat ya!

2. Guna aplikasi pengurusan kewangan

Kalau anda rasa leceh nak bawa buku dan pen ke mana sahaja, guna je aplikasi yang boleh dimuat turun ke dalam telefon pintar anda.

Kredit gambar

Ada banyak aplikasi untuk menguruskan kewangan yang dibangunkan sekarang, sama ada untuk pengguna Android mahupun iOS. Pilih je mana-mana yang sesuai dengan anda!

3. Catat di WhatsApp pun boleh!

Ini cara yang saya rasa paling mudah dan laju. Buat group WhatsApp Group khas untuk perbelanjaan sahaja. Jadinya, setiap kali anda berbelanja, anda boleh terus taip dan send dalam group. Mudah kan?

3. Simpan duit di tempat yang susah untuk dikeluarkan

Tips ni sesuai untuk golongan muda yang kadangkala boros berbelanja. Kadang-kadang, kita tak perasan kita sudah berbelanja melebihi bajet yang telah ditetapkan, sehinggakan duit untuk tabung kecemasan pun habis dibelanjakan.

Jadi, untuk mengelakkan perkara sebegini kerap berlaku, anda boleh menyimpan dengan Tabung Haji, ASB, Simpanan Emas, dan sebagainya.

No photo description available.

Kredit gambar

Tabung Haji mahupun ASB, kedua-duanya instrumen penyimpanan wang yang selamat dan boleh dipercayai.

Tambahan lagi, simpanan anda dijamin dan tiada risiko rugi. Transaksi untuk keluar atau masukkan duit juga mudah dilakukan, sama ada secara offline (di kaunter) ataupun online. Anda juga akan terima pulangan dividen dan bonus tahunan!

Selain Tabung Haji dan ASB, ramai yang dah mula cakna dengan kepentingan emas sebagai salah satu cara menyimpan untuk jangka masa yang panjang.

Kredit gambar

Emas dikatakan kalis inflasi, jadi anda juga digalakkan untuk mempunyai simpanan berbentuk emas dalam jumlah 5% hingga 10% dari keseluruhan jumlah simpanan anda.

4. Hadkan penggunaan kad kredit dan jangan tambah hutang

Kad kredit merupakan satu kemudahan pembayaran yang tidak asing dalam kalangan masyarat.

Bergantung pada situasi, penggunaan kad kredit amat memudahkan, malah lebih baik berbanding wang tunai. Contohnya ketika melancong ke luar negara di mana anda tak perlu bawa wang tunai yang banyak. Selain itu, kad kredit juga memberikan kelebihan mata ganjaran dan rebat tunai.

Namun, jika anda tersalah langkah, anda boleh terjerumus dalam perangkap kad kredit. Menurut Jabatan Insolvensi negara, lebih 5000 kes muflis adalah berpunca dari penggunaan kad kredit yang tidak terkawal.

Kredit gambar

Dalam bahasa mudah, kad kredit adalah hutang. Dan hutang ini perlu dibayar dalam tempoh waktu yang ditetapkan. Di Malaysia, tempoh bayaran balik tersebut ialah 20 hari. Ramai pengguna kad kredit masih kurang jelas mengenai perkara ini, dan berterusan menggunakan kad kredit sewenangnya.

Jadi, gunakan kad kredit dengan sebaik mungkin. Elakkan berbelanja berlebihan dengan menggunakan kad kredit – lebih-lebih lagi jika anda hanya mampu membayar jumlah minimum setiap bulan.

Dengan kadar faedah yang tinggi ke atas hutang tertunggak, dalam tidak sedar anda boleh jatuh muflis hanya kerana nafsu berbelanja yang tidak terurus.

5. Bersedekah dan zakat

Kredit gambar

Kadang-kadang kita terlupa tentang sedekah ni kan? Walhal, amalan sedekah ni sangatlah dianjurkan. Jadi, setiap hari, asingkan sedikit duit untuk disedekahkan. Mulakan sedikit demi sedikit.

Contoh mudah yang saya boleh kongsikan: sedekah di tabung masjid setiap solat Jumaat, bagi sedikit ‘tips’ untuk penghantar makanan, belanja makan, dan sebagainya. Bila kita dah bermula, kita sendiri akan rasa seronok.

Oh ya, zakat pendapatan dan harta jangan dilupakan ya!

6. Tambah pendapatan sampingan

Kredit gambar

Zaman sekarang, senang sangat nak buat pendapatan sampingan. Dengan perkembangan teknologi, segala maklumat berada di hujung jari anda.

Saya cadangkan untuk anda bermula dengan perniagaan yang tidak memerlukan modal yang besar, seperti contoh bisnes dropship yang pernah saya kongsikan sebelum ini [link untuk dropship bisnes shopee di sini].

Selain itu, anda juga boleh menawarkan kemahiran anda seperti menulis, menterjemah, membuat kek dan sebagainya untuk menambah pendapatan sampingan setiap bulan. Contohnya seperti guru ini yang memanfaatkan bakatnya untuk menjana RM2000 sebulan.

Yang penting, anda perlu ada ilmu yang betul dan pandai dalam menguruskan masa.

Dari duit bisnes ini anda boleh tambah jumlah simpanan anda. Apabila bisnes anda sedang rancak, itulah waktu terbaik untuk anda simpan lebih banyak duit.

7. Bezakan keperluan dan kemahuan

Ingat – jangan berbelanja sesuka hati; beli apa yang perlu sahaja. Kita perlu belajar untuk hidup di bawah kemampuan kita.

Kredit gambar

Kalau gajet anda masih elok, kenapa perlu keluarkan belanja tambahan untuk gajet terkini? Kalau baju sudah penuh almari, kenapa perlu tambah lagi?

Kemahiran membezakan antara keperluan dan kemahuan sebenarnya amat penting. Ramai yang berbelanja ikut nafsu sedangkan kita disarankan untuk ikut kemampuan diri sendiri.

Kesimpulan

Statistik yang menunjukkan ramai antara kita tidak mempunyai simpanan yang mencukupi walaupun untuk jangka masa yang pendek amatlah membimbangkan.

Kredit gambar

Oleh itu, saya harap, tips untuk simpan duit yang telah saya senaraikan akan dapat membantu anda untuk terus menyimpan. Gaji kecil atau besar – tak salah kalau anda berhati-hati dan lebih jimat cermat ketika berbelanja.

Segalanya terletak di tangan anda. Yang penting, anda perlu terus konsisten untuk buat simpanan demi masa hadapan yang lebih selesa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *