Pengurusan kewangan merupakan perkara yang kelihatan mudah tapi paling susah untuk dilakukan. Hampir separuh daripada penduduk di Malaysia terutamanya golongan muda mengalami masalah kewangan akibat kesilapan dalam mengurus kewangan mereka.
Ini kerana, walaupun ramai yang sedar akan kepentingan merancang kewangan peribadi namun ramai juga yang sering terjebak dalam kesalahan yang sama ketika menguruskan kewangan mereka. Jika kesilapan ini diatasi, ia boleh memberi kesan yang besar terhadap masa depan kita.
Artikel ini akan membincangkan beberapa kesalahan biasa dalam pengurusan kewangan yang perlu anda elakkan.
Kesalahan Pengurusan Kewangan
Berikut merupakan beberapa kesalahan pengurusan kewangan yang sering dilakukan oleh ramai orang.
Tidak Merancang Perbelanjaan
Perkara ini penting dalam menguruskan kewangan anda untuk kestabilan pada masa hadapan. Tidak merancang perbelanjaan merupakan salah satu kesalahan yang sering berlaku dan member kesan yang sangat besar terhadap kestabilan kewangan kita.
Merancang perbelanjaan merupakan cara terbaik untuk memastikan wang anda digunakan dengan bijak dan mencukupi untuk memenuhi semua keperluan anda.
Dengan rancangan perbelanjaan yang baik, anda boleh mengetahui berapa banyak wang yang ada, ke mana perginya, dan adakah anda mempunyai simpanan yang mencukupi. Tanpa rancangan perbelanjaan yang betul, perkara seperti over spend akan berlaku yang memberikan kesan yang tidak baik kepada keadaan kewangan anda.
Penggunaan Kad Kredit Yang Tidak Terkawal
Kad kredit adalah alat kewangan yang berguna jika digunakan dengan betul. Namun, penggunaan kad kredit yang tidak terkawal juga merupakan salah satu kesalahan yang sering dilakukan dalam pengurusan kewangan peribadi.
Contohnya, kadar faedah yang dikenakan oleh pihak bank atas kelewatan membayar semula pinjaman kad kredit boleh menjadi beban yang anda akan tanggung.
Ini bukan sahaja menjejaskan kewangan anda sekarang, tetapi juga masa depan kewangan anda. Oleh itu, sila pastikan anda hanya menggunakan kad kredit untuk perbelanjaan yang penting dan membayar balik dengan segera bagi mengelakkan kos faedah yang tinggi.
Tidak Mempunyai Simpanan Wang Kecemasan
Simpanan kecemasan merupakan perkara yang sangat penting dan perlu ada dalam pelan perbelanjaan anda. Ini kerana, wang inilah yang akan membantu anda menghadapi situasi tidak terduga seperti kehilangan pekerjaan, kecelakaan, atau masalah kesihatan.
Ramai yang tidak mengambil serius tentang pentingnya wang kecemasan dan ini adalah salah satu kesalahan yang boleh membawa kepada masalah kewangan yang besar.
Secara asasnya, anda perlu mempunyai simpanan kecemasan yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan selama tiga hingga enam bulan. Simpanan ini membolehkan anda menghadapi situasi kecemasan tanpa perlu menjejaskan perancangan kewangan jangka panjang.
Tidak Melabur Dengan Bijak
Pelaburan merupakan salah satu cara yang baik untuk mengembangkan pendapatan anda, tetapi ramai yang terjerumus ke dalam kesalahan melabur. Kesilapan ini boleh mengakibatkan kerugian wang yang besar.
Sebelum membuat pelaburan, anda perlu membuat kajian terlebih dahulu tentang jenis pelaburan yang ingin anda ceburi dan pastikan ia sesuai dengan matlamat kewangan anda. Jika anda tidak yakin dalam membuat pelaburan ada baiknya anda dapatkan nasihat daripada pakar kewangan.
Pelaburan yang bijak dapat membantu meningkatkan keuntungan anda manakala pelaburan yang tidak menguntungkan pula akan mengakibatkan anda kehilangan wang anda.
Mengabaikan Hutang
Saban hari kita melihat ada sahaja isu viral berkenaan dengan hutang di laman sosial. Ini kerana, ramai orang cenderung untuk mengabaikan hutang kerana tidak mampu untuk membayar semula. Namun, hutang yang tidak diuruskan dengan baik akan membebankan keadaan kewangan anda.
Ini kerana, kadar faedah yang tinggi pada kad kredit dan pinjaman boleh menyebabkan hutang semakin meningkat dari masa ke masa.
Untuk mengelakkan masalah ini, anda perlu merancang cara untuk membayar hutang secara berkesan, sama ada dengan mengurangkan perbelanjaan atau mencari sumber pendapatan tambahan
Pengurusan hutang adalah kunci dalam memastikan anda mempunyai kestabilan kewangan yang lebih baik.
Berbelanja Lebih Daripada Kemampuan
Berbelanja lebih daripada kemampuan adalah masalah biasa terutamanya apabila seseorang terpengaruh dengan gaya hidup mewah.
Dengan kemudahan pembelian dalam talian dan iklan yang menarik, ramai orang akhirnya terjebak untuk membeli barangan yang tidak diperlukan dan hanya sekadar untuk memuaskan keinginan mereka sahaja.
Keinginan untuk “ikut trend” atau gaya hidup orang lain juga boleh menjadi faktor orang ramai berbelanja lebih daripada kemampuan mereka.
Bagi mengelak kesilapan ini, adalah penting untuk memahami dan mengenali pasti keperluan sebenar anda. Sebelum membeli sesuatu, tanyakan pada diri sendiri adakah barangan itu benar-benar diperlukan atau sekadar keinginan.
Menahan diri dari berbelanja secara tergesa-gesa dapat mengelakkan perbelanjaan yang tidak perlu. Salah satu cara yang berkesan untuk mengelak perkara ini adalah dengan menetapkan bajet harian atau mingguan untuk perbelanjaan peribadi dan lain-lain.
Gagal Menyimpan Secara Konsisten
Kebanyakan orang sedar akan kepentingan menabung, namun ramai yang gagal melakukannya secara konsisten. Sikap menangguhkan tabiat menabung atau beranggapan akan mula menabung apabila pendapatan bertambah adalah kesilapan yang sering dilakukan.
Namun, tanpa simpanan yang mencukupi seseorang mungkin menghadapi masalah apabila keadaan tidak dijangka berlaku seperti kehilangan pekerjaan atau kecemasan perubatan.
Satu cara mudah untuk mula menyimpan ialah dengan meletakkan matlamat simpanan bulanan yang tetap, walaupun dengan jumlah kecil.
Contohnya, menetapkan 10% daripada pendapatan sebagai tabungan tetap. Membuka akaun simpanan yang berasingan juga boleh membantu anda untuk mula menabung kerana ini akan mengurangkan godaan untuk menggunakan wang simpanan bagi perbelanjaan lain.
Kesimpulan
Mengelakkan kesalahan dalam pengurusan kewangan memerlukan disiplin dan kesedaran. Kesalahan seperti tidak membuat perancangan kewangan, berbelanja lebih daripada kemampuan, gagal menabung, dan terlalu bergantung pada kad kredit adalah masalah yang boleh diatasi dengan kesedaran dan usaha yang konsisten.
Pengurusan kewangan yang bijak memerlukan usaha tetapi ia memberikan hasil yang besar dalam memastikan kehidupan yang lebih stabil dan terjamin. Anda boleh mulakan langkah kecil seperti membuat bajet bulanan, menabung secara konsisten, dan menggunakan kad kredit dengan berhati-hati. Dengan disiplin yang berterusan, anda boleh mencapai kestabilan kewangan yang lebih baik dan memastikan masa depan yang lebih cerah.