Hutang lapuk adalah masalah kewangan yang boleh memberikan tekanan mental dan fizikal kepada individu yang terlibat.
Untuk menangani masalah ini dengan bijak, adalah penting untuk memahami apa itu hutang lapuk, kesannya terhadap pemiutang, serta cara mengurus dan mengatasi hutang tersebut dengan langkah yang baik dan berkesan.
Artikel ini akan memberikan panduan tentang cara mengatasi hutang lapuk agar anda dapat mengembalikan kestabilan kewangan dan hidup tanpa beban hutang yang menganggu.
Apa itu Hutang Lapuk?
Hutang lapuk merujuk kepada pinjaman atau hutang yang tidak dapat dibayar oleh penghutang setelah satu tempoh masa tertentu.
Apabila tempoh tersebut tamat, pihak pemberi pinjaman tidak lagi dapat memulihkan hutang tersebut melalui cara yang sah.
Dalam istilah undang-undang, hutang ini dianggap “mati” kerana sudah terlalu lama tidak diambil tindakan oleh pihak pemberi pinjaman untuk mengutipnya.
Walaupun hutang lapuk dianggap tidak boleh dituntut lagi secara sah, ini tidak bermakna penghutang bebas sepenuhnya daripada tanggungjawab untuk membayar hutang tersebut.
Dengan kata lain, hutang ini tidak hilang begitu sahaja walaupun tidak lagi boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Tempoh Luput Hutang Lapuk
Tempoh luput hutang lapuk berbeza mengikut negara dan jenis hutang. Di Malaysia, hutang kad kredit dan pinjaman peribadi yang gagal dibayar biasanya dianggap hutang lapuk selepas enam tahun.
Walaubagaimanapun, tempoh ini mungkin berbeza bergantung kepada jenis hutang dan perjanjian yang telah ditetapkan.
Oleh itu, adalah penting untuk memahami hak anda sebagai penghutang dan juga sebagai pemiutang, kerana selepas tempoh tertentu, hutang lapuk ini mungkin masih boleh dituntut, tetapi tidak melalui tindakan undang-undang.
Kesan Hutang Lapuk terhadap Pemiutang
Walaupun hutang lapuk dianggap tidak boleh dipulihkan lagi, pemiutang masih mempunyai hak untuk menuntut hutang tersebut. Namun, mereka tidak boleh mengambil tindakan undang-undang untuk memulihkan hutang itu selepas tempoh lapuk yang ditetapkan.
Ia sudah tentu memberikan kesan yang buruk kepada pemiutang kerana ia boleh mengurangkan keuntungan atau aset mereka, mempengaruhi aliran kewangan, atau memaksa mereka untuk membuat penurunan dalam buku akaun mereka.
Pemiutang juga mungkin perlu membuat penyesuaian semua terhadap akaun mereka untuk mencatat kerugian yang mungkin timbul daripada hutang yang tidak dapat dikutip tersebut.
Kesan Hutang Lapuk Terhadap Penghutang
Hutang lapuk juga memberikan kesan yang buruk kepada penghutang. Berikut merupakan beberapa kesan yang bakal anda hadapi jika terlibat dalam hutang lapuk:
1. Reputasi Kredit Terjejas
Walaupun hutang dianggap lapuk dan tidak dapat dikutip, ia tetap boleh menjejaskan skor kredit penghutang. Ini kerana penghutang tidak mampu melunaskan hutang dalam tempoh yang ditetapkan atau gagal memenuhi komitmen pembayaran.
2. Tindakan Undang-Undang
Sekiranya hutang itu tidak lapuk sepenuhnya, penghutang masih boleh dikenakan tindakan undang-undang, seperti saman atau proses kebankrapan.
3. Kesukaran Mendapatkan Pinjaman Baru
Dengan adanya rekod hutang lapuk, penghutang mungkin menghadapi kesukaran untuk memohon pinjaman atau kredit pada masa depan. Ini kerana, pemberi pinjaman seperti bank mungkin melihat mereka sebagai peminjan yang berisiko tinggi untuk tidak membayar balik pinjaman.
4. Tekanan Emosi
Mempunyai hutang yang tidak dapat dilunaskan boleh menyebabkan tekanan kewangan dan emosi kepada penghutang, terutamanya apabila mereka berasa terbeban dengan kewajipan tersebut. Selain itu, penghutang juga berkemungkinan besar akan dikejar oleh pengutip hutang. Perkara ini juga boleh mengangu kehidupan harian penghutang.
Cara Mengatasi Hutang yang Tidak Dapat Dibayar
Sebagai peminjam, sudah menjadi tanggungjawab anda untuk menyelesaikan pinjaman kepada pemberi hutang. Berikut merupakan beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk mengatasi hutang yang tidak dapat dibayar.
1. Kenal pasti keperluan asas dan kehendak
Mengurus hutang dengan baik memerlukan disiplin yang tinggi dan perancangan yang teliti. Setiap kali menerima pendapatan atau gaji, bahagiakan wang anda untuk keperluan asas terlebih dahulu dan sediakan sedikit ruang untuk menyelesaikan komitmen hutang.
Jika anda mempunyai wang lebih, baru belanjakan untuk perkara-perkara yang tidak terlalu penting. Anda juga boleh menggunakan akaun untung rugi agar anda dapat memantau aliran tunai bulanan dan memastikan anda dapat membayar hutang tepat pada waktunya.
2. Utamakan membayar hutang yang perlu dibayar
Utamakan pembayaran hutang yang perlu dilunaskan terlebih dahulu. Ini memastikan komitmen kewangan yang penting harus diselesaikan lebih awal untuk mengelakkan hutang bertambah serta menjaga kestabilan kewangan anda.
Dengan menyelesaikan hutang ini, ia dapat memberi anda kebebasan kewangan dan mengurangkan tekanan kewangan di masa akan datang.
3. Mendapat khidmat nasihat dari bank
Jika anda menghadapi masalah kewangan yang menyukarkan anda untuk membayar balik pinjaman anda, sila dapatkan khidmat nasihat daripada pihak bank atau perancang kewangan yang berlesen. Minta nasihat mengenai perancangan kewangan yang boleh membantu anda mengurus hutang dengan lebih baik.
Bank mungkin boleh membantu anda dengan cara menyusun semula pinjaman atau menawarkan penyelesaian lain yang memudahkan pembayaran balik.
Adakah Hutang Lapuk Perlu Dibayar?
Pertanyaan yang sering muncul adalah, “Adakah saya masih perlu membayar hutang lapuk?” Secara teknikal, selepas tempoh tertentu, hutang lapuk tidak lagi boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna tanggungjawab untuk membayar hutang tersebut akan hilang begitu sahaja. Sebagai seorang individu yang bertanggungjawab, adalah penting untuk melunaskan hutang tersebut sekiranya anda mempunyai kemampuan.
Hutang lapuk mungkin tidak dapat dibayar melalui saluran undang-undang, tetapi ia tetap memberi kesan kepada kewangan dan reputasi anda.
Kesimpulan
Menyelesaikan hutang lapuk memerlukan perancangan yang teliti. Sudah tentu langkah pertama yang perlu diambil adalah untuk memastikan pembayaran pinjaman dan ansuran dilakukan tepat pada masanya. Seterusnya, berbincanglah dengan pihak bank atau perancang kewangan untuk merancang semula pembayaran hutang yang tertangguh. Ingat, walaupun hutang lapuk mungkin tidak boleh dibayar atau dituntut melalui tindakan undang-undang selepas tempoh tertentu, tanggungjawab moral untuk membayar hutang tersebut masih ada.