Apa Itu Saham Patuh Syariah dan Bagaimana Memilihnya?

Mencari kekayaan dan memanfaatkan harta secara bijak bukanlah sesuatu perkara yang salah disisi agama Islam. Bahkan, umat Islam digalakkan untuk berusaha mencari rezeki yang halal dan menguruskan harta dengan baik selagi ia mematuhi prinsip-prinsip Syariah.

Dalam konteks pelaburan, saham patuh Syariah merupakan salah satu pilihan utama bagi memastikan setiap pelaburan yang dilakukan selari dengan ajaran agama sekaligus membantu mengembangkan harta secara baik dan bertanggungjawab.

Apa Itu Saham Patuh Syariah?

Saham patuh Syariah merujuk kepada saham syarikat yang tersenarai di bursa saham yang telah disaring dan disahkan oleh Majlis Penasihat Syariah sebagai mematuhi prinsip-prinsip Syariah

Bagi umat Islam yang ingin melabur dalam pasaran saham, adalah penting untuk memastikan pelaburan mereka adalah halal dan bebas daripada unsur-unsur yang dilarang dalam Islam, seperti riba, perjudian, dan perniagaan yang melibatkan alkohol atau barang terlarang yang lain. Saham yang mematuhi prinsip-prinsip ini dikenali sebagai saham patuh Syariah, dan di Malaysia ia diawasi oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Proses Pemilihan Saham Patuh Syariah

Biasanya, Suruhanjaya Sekuriti melalui Majlis Penasihat Syariah akan mengemas kini senarai saham patuh Syariah di Bursa Malaysia setiap tahun pada bulan May dan bulan November.

Sumber: sc.com.my

Gambar di atas merupakan sekuriti yang diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh Syariah oleh SAC pada 31 May 2024.

Senarai ini dikemas kini untuk memberikan panduan terkini kepada pelabur yang ingin memastikan pelaburan mereka mematuhi prinsip Syariah. Majlis Penasihat Syariah terdiri daripada pakar kewangan dan pakar Syariah yang menilai status setiap syarikat berdasarkan aktiviti perniagaan dan struktur kewangannya.

Proses ini penting kerana pasaran saham terdiri daripada syarikat-syarikat dalam pelbagai industri dan ada di antara mereka yang mungkin menjalankan aktiviti yang tidak mematuhi prinsip Syariah. Sebagai contoh, syarikat yang terlibat dalam industri hiburan yang tidak halal atau dalam sektor kewangan yang menggunakan riba akan dikeluarkan daripada senarai saham patuh Syariah.

Bagaimana Memilih Saham Patuh Syariah?

Terdapat beberapa tips dan langkah untuk memilih saham patuh Syariah yang sesuai untuk pelaburan anda. Tips dan langkah-langkah tersebut adalah seperti berikut:

1. Semak Senarai Saham Patuh Syariah

Perkara pertama dan paling mudah dilakukan adalah menyemak senarai saham patuh Syariah. Pelabur boleh menyemak senarai saham patuh Syariah terkini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Senarai ini akan disemak dan dikemas kini dua kali setahun pada bulan Mei dan November. Semua syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia akan ditandakan sama ada mereka patuh Syariah atau tidak. Dengan menyemak senarai ini, pelabur boleh mengelakkan melabur dalam syarikat yang tidak patuh Syariah.

2. Semak Aktiviti Perniagaan Syarikat

Selain itu, pelabur juga boleh menyemak aktiviti perniagaan syarikat tertentu. Syarikat yang patuh Syariah mestilah menjalankan perniagaan yang tidak melanggar prinsip Islam. Aktiviti perniagaan yang melibatkan arak, judi, riba, atau produk haram lain adalah dilarang.

Sebagai pelabur yang ingin mematuhi Syariah, anda perlu memastikan bahawa syarikat tersebut tidak terlibat dalam sebarang aktiviti haram atau tidak patuh dengan hukum Islam. Syarikat yang terlibat dalam aktiviti yang tidak dibenarkan disisi Islam walaupun dalam skala kecil mungkin tidak sesuai untuk pelaburan patuh Syariah.

3. Tinjau Struktur Kewangan Syarikat

Selain daripada aktiviti perniagaan, struktur kewangan syarikat juga perlu diteliti. Syarikat yang mempunyai nisbah hutang berasaskan riba yang tinggi mungkin tidak layak sebagai saham patuh Syariah.

Menurut garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Penasihat Syariah, tahap hutang berasaskan riba dan aset tidak patuh dalam syarikat perlu dikawal dalam nisbah yang dibenarkan, iaitu sekitar 33 peratus ke bawah. Pelabur harus memberi perhatian terhadap aspek ini sebelum membuat keputusan untuk melabur dalam saham tersebut.

4. Gunakan Aplikasi atau Platform Kewangan Syariah

Dalam era digital ini, terdapat pelbagai aplikasi dan platform yang menawarkan senarai saham patuh Syariah dan alat untuk menyemak status sesuatu syarikat. Pelabur boleh menggunakan aplikasi ini untuk memudahkan proses pemilihan saham yang tepat.

Ini juga boleh membantu pelabur untuk mengesan perubahan status sesuatu syarikat dengan lebih mudah. Terutama jika syarikat tersebut dikeluarkan dari senarai patuh Syariah dalam semakan tahunan.

Kenapa Anda Perlu Pilih Saham Patuh Syariah?

Pelaburan dalam saham patuh Syariah menawarkan beberapa kelebihan kepada terutamanya kepada pelabur Muslim. Antaranya adalah:

1. Pelaburan Yang Etika

Saham patuh Syariah memastikan bahawa pelaburan dibuat berdasarkan prinsip etika Islam. Ini bermaksud pelabur tidak akan terlibat dalam aktiviti yang dilarang oleh agama, seperti perjudian atau riba. Pelaburan yang patuh Syariah memberi ketenangan kepada pelabur kerana ia selaras dengan ajaran Islam.

2. Pelaburan Yang Berisiko Rendah

Sebilangan besar syarikat yang patuh Syariah mempunyai struktur kewangan yang stabil, dengan nisbah hutang yang rendah. Ini bermakna syarikat-syarikat ini kurang terdedah kepada risiko kewangan, terutamanya yang berkaitan dengan hutang riba. Pelaburan dalam syarikat-syarikat ini boleh dianggap sebagai pelaburan yang lebih stabil dalam jangka panjang.

3. Peluang Untuk Membina Modal Yang Halal

Dengan melabur dalam saham patuh Syariah, pelabur boleh membina kekayaan yang halal dan beretika. Ini adalah penting bagi umat Islam yang ingin memastikan bahawa pendapatan mereka bebas daripada sebarang unsur yang tidak patuh dengan ajaran Islam.

Cabaran Melabur Saham Patuh Syariah

Walaupun terdapat banyak manfaat melabur dalam saham patuh Syariah namun, ia juga memounyai beberapa cabaran yang perlu dihadapi oleh pelabur. Antara cabaran utama adalah:

1. Pilihan Saham Yang Terhad

Walaupun Bursa Malaysia mempunyai senarai saham patuh Syariah namun, jumlah pilihan yang ada masih terhad berbanding dengan keseluruhan pasaran saham. Pelabur yang hanya ingin melabur dalam saham patuh Syariah mungkin menghadapi cabaran dalam mencari syarikat yang sesuai dengan strategi pelaburan mereka.

2. Perubahan Status Syariah

Syarikat yang tersenarai sebagai patuh Syariah mungkin kehilangan status ini pada masa hadapan jika aktiviti perniagaan atau struktur kewangan mereka berubah. Oleh itu, pelabur perlu sentiasa peka terhadap perubahan status saham yang mereka pegang. Jika sebuah syarikat tidak lagi patuh Syariah, pelabur yang mematuhi prinsip Islam perlu mempertimbangkan untuk menjual saham tersebut.

3. Kurangnya Pengetahuan Mengenai Syariah

Tidak semua pelabur memahami prinsip Syariah dengan baik, terutamanya apabila melibatkan pelaburan dalam pasaran saham. Oleh itu, pendidikan mengenai kewangan Syariah dan prinsip pelaburan yang patuh Syariah sangat penting untuk memastikan pelabur membuat keputusan yang bijak dan sesuai dengan ajaran agama.

Kesimpulan

Saham patuh Syariah merupakan pilihan yang baik bagi pelabur Muslim yang ingin melabur dalam pasaran saham tanpa melanggar prinsip-prinsip Islam. Dengan memastikan syarikat yang dilaburkan mematuhi garis panduan Syariah, pelabur boleh membina kekayaan yang halal dan beretika. Walaupun terdapat cabaran seperti pilihan saham yang terhad dan risiko perubahan status Syariah, pelaburan dalam saham patuh Syariah tetap merupakan pilihan yang baik bagi mereka yang ingin melabur secara beretika dan patuh dengan ajaran agama. Oleh itu, pelabur haruslah sentiasa membuat semakan senarai terkini saham patuh Syariah yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti pada bulan Mei dan November dan buat keputusan pelaburan dengan bijak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *