Apa Itu Margin Call Forex dan Bagaimana Mengelaknya?

Margin Call merupakan salah satu istilah yang sering didengar oleh trader dalam dunia forex. Ia berkait rapat dengan pengurusan risiko dan penggunaan margin dalam perdagangan. Bagi trader yang baru memasuki pasaran forex, anda perlu memahami apa itu margin call untuk mengelakkan kerugian besar dan memastikan strategi perdagangan berjalan dengan lancar.

JustMarkets

Dalam artikel ini, kita akan mengupas dengan lebih mendalam tentang margin call, definisi, formula pengiraannya, dan contoh situasi yang dapat membantu anda memahami bagaimana margin call berlaku dalam perdagangan forex.

Definisi Margin Call

Margin Call adalah amaran atau notifikasi yang diberikan oleh broker kepada trader apabila baki margin mereka jatuh di bawah tahap minimum yang diperlukan untuk mengekalkan posisi perdagangan mereka yang dibuka. Dalam erti kata lain, ia menandakan bahawa dana yang terdapat dalam akaun dagangan tidak mencukupi untuk menampung sebarang kerugian lebih lanjut.

Apabila margin call berlaku, broker akan meminta trader untuk menambah lebih banyak dana ke dalam akaun mereka atau menutup beberapa posisi terbuka untuk memastikan bahawa akaun tersebut memenuhi syarat margin yang ditetapkan. Jika trader gagal berbuat demikian, broker berhak untuk menutup posisi mereka secara automatik untuk mengelakkan kerugian yang lebih besar.

Untuk memahami margin calls, kita perlu terlebih dahulu memahami konsep margin dalam forex. Margin ialah jumlah wang yang perlu disimpan dalam akaun dagangan untuk membuka dan mengekalkan posisi. Ia biasanya dinyatakan sebagai peratusan daripada nilai penuh posisi yang dibuka.

Contohnya, jika anda ingin membuka posisi dagangan dengan nilai penuh $10,000, dan broker anda memerlukan margin 1%, anda hanya perlu menyediakan $100 sebagai margin. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk diingat bahawa margin bukanlah kos perdagangan, tetapi ia berfungsi sebagai cagaran atau jaminan kepada broker.

Bagaimana Margin Call Berlaku?

Margin call berlaku apabila ekuiti dalam akaun dagangan jatuh di bawah paras margin yang diperlukan. Ekuiti akaun ialah jumlah dana yang ada dalam akaun anda selepas mengambil kira keuntungan atau kerugian pada posisi terbuka.

Terdapat dua faktor utama yang boleh menyebabkan margin call;

Penurunan Nilai Akaun

Jika anda mempunyai posisi terbuka dan pasaran bergerak bertentangan dengan jangkaan anda, nilai akaun anda akan turun disebabkan oleh kerugian terapung (floating loss). Jika kerugian ini terus meningkat sehingga ekuiti akaun anda jatuh di bawah tahap minimum yang diperlukan, margin call akan diaktifkan.

Pembukaan Posisi Yang Terlalu Besar

Membuka posisi yang terlalu besar berbanding ekuiti akaun anda boleh menyebabkan margin call berlaku dengan lebih cepat. Ini kerana margin yang diperlukan untuk mengekalkan posisi besar tersebut mungkin melebihi dana yang ada dalam akaun anda, terutamanya jika pasaran bergerak bertentangan dengan kedudukan anda.

Formula Pengiraan Margin Call

Untuk lebih memahami bagaimana margin call berlaku, adalah penting untuk mengetahui formula pengiraannya. Secara amnya, broker forex mempunyai tahap margin call tertentu yang dikenali sebagai Margin Level. Tahap ini biasanya dinyatakan dalam bentuk peratusan.

Formula untuk mengira margin level adalah seperti berikut:

Margin Level (%) = (Ekuiti / Margin Digunakan) × 100

  • Ekuiti ialah adalah wang yang ada dalam akaun dagangan anda, termasuk keuntungan atau kerugian dari posisi terbuka.
  • Margin Digunakan adalah jumlah margin yang diperlukan untuk mengekalkan semua posisi terbuka.

Sebagai contoh, jika anda mempunyai ekuiti sebanyak $500 dan margin yang digunakan ialah $250, tahap margin anda adalah:

  • Margin Level = ($500 / $250) × 100 = 200%

Jika tahap margin jatuh di bawah paras yang ditetapkan oleh broker (biasanya sekitar 100%) anda akan menerima pemberitahuan margin call. Dalam situasi ini, anda mempunyai beberapa pilihan sama ada menambah lebih banyak dana ke akaun anda, menutup beberapa posisi, atau membiarkan broker menutup posisi secara automatik untuk anda.

Contoh Situasi Margin Call

Mari kita lihat contoh yang lebih jelas supaya anda memahami bagaimana margin call ini berlaku.

Contoh:

Katakan anda membuka akaun dagangan dengan modal $1,000 dan broker anda memerlukan margin 2%. Anda memutuskan untuk membuka posisi dagangan dengan nilai $50,000 (leverage 50:1), yang bermaksud margin yang diperlukan adalah $1,000 (2% dari $50,000).

Pada awalnya, akaun anda berada dalam keadaan yang baik kerana ekuiti akaun dan margin yang digunakan adalah seimbang. Namun, pasaran mula bergerak bertentangan dengan jangkaan anda dan anda mengalami kerugian sebanyak $600. Ini bermakna ekuiti akaun anda sekarang adalah $400 ($1,000 – $600).

  • Margin Level = ($400 / $1,000) × 100 = 40%

Dalam situasi ini, tahap margin anda telah jatuh kepada 40%, jauh di bawah paras margin call yang biasanya ditetapkan pada 100%. Oleh itu, broker akan menghantar pemberitahuan margin call untuk memberitahu anda bahawa dana dalam akaun tidak mencukupi untuk menampung kerugian yang mungkin akan berlaku.

Jika anda tidak menambah dana atau menutup beberapa posisi untuk mengurangkan margin yang digunakan, broker mungkin terpaksa menutup posisi anda secara automatik untuk mengelakkan kerugian yang lebih besar. Ini dipanggil Stop Out.

Bagaimana Mengelakkan Margin Call?

Margin call boleh memberikan tekanan kepada trader, tetapi ia sebenarnya boleh dielakkan dengan beberapa langkah berjaga-jaga. Berikut adalah beberapa tips yang boleh membantu anda mengelakkan margin call:

Pengurusan Risiko Yang Baik

Salah satu cara paling penting untuk mengelakkan margin call ialah dengan mengamalkan pengurusan risiko yang baik. Ini termasuk menghadkan saiz posisi anda dan menggunakan leverage yang sesuai dengan modal anda.

Pantau Posisi Secara Berkala

Pastikan anda sentiasa memantau posisi dagangan anda dan paras ekuiti akaun anda. Jika pasaran bergerak bertentangan dengan kedudukan anda, anda boleh bertindak dengan cepat untuk menutup posisi atau menambah dana sebelum margin call berlaku.

Gunakan Stop Loss

Penggunaan stop loss adalah salah satu cara terbaik untuk menghadkan kerugian dan melindungi akaun anda daripada margin call. Dengan menetapkan stop loss, posisi anda akan ditutup secara automatik apabila pasaran bergerak bertentangan dengan jangkaan anda untuk mengelak kerugian yang lebih besar.

Elakkan Over-Leveraging

Menggunakan leverage yang terlalu tinggi boleh mempercepatkan risiko margin call, terutamanya jika pasaran bergerak dengan cepat. Oleh itu, pastikan anda memilih leverage yang bersesuaian dengan modal dan strategi dagangan anda.

Kesimpulan

Margin call adalah salah satu perkara yang penting dalam perdagangan forex yang bertujuan melindungi broker dan trader daripada kerugian yang terlalu besar. Walaupun margin call mungkin menakutkan bagi sesetengah trader, ia boleh dielakkan dengan mengamalkan pengurusan risiko yang baik, menggunakan leverage yang sesuai, dan sentiasa memantau posisi dagangan.

Dengan memahami konsep margin call, formula pengiraannya, dan contoh situasi yang logik, anda akan lebih bersedia untuk menghadapi risiko dalam perdagangan forex dan memastikan akaun dagangan anda kekal dalam keadaan stabil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *