Kelebihan Pelaburan Hartanah 2024

Menurut laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) pada 9 September 2024, nilai transaksi harta tanah bagi separuh pertama tahun ini telah melebihi paras RM100 bilion, mencatatkan rekod tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Peningkatan nilai hartanah ini melibatkan pelbagai subsektor, termasuk kediaman, komersial, pertanian, dan industri. Fenomena ini menunjukkan bahawa pasaran hartanah semakin berkembang di Malaysia. Ini juga merupakan petanda yang baik bahawa pelaburan hartanah pada tahun 2024 berpotensi menjadi pelaburan yang menguntungkan.

Dalam artikel ini, kita akan membincangkan beberapa kelebihan pelaburan hartanah pada tahun 2024 dan mengapa ia menjadi pilihan yang menarik bagi pelabur.

Jenis Pelaburan Hartanah

Terdapat pelbagai jenis pelaburan hartanah yang boleh anda pilih. Berikut merupakan pelaburan hartanah yang sering menjadi pilihan perlabur:

Hartanah Kediaman

Hartanah kediaman adalah jenis pelaburan yang paling umum. Biasanya, pelabur hartanah akan membeli rumah, apartment, atau kondominium untuk dijadikan sebagai kediaman sendiri atau disewakan kepada penyewa. Keuntungan utama dalam pelaburan ini adalah datang dari sewa bulanan serta peningkatan nilai hartanah jangka panjang.

Hartanah Komersial

Hartanah komersial melibatkan pembelian bangunan perniagaan seperti pejabat, kedai, atau kompleks perniagaan. Jenis pelaburan ini menawarkan pulangan yang lebih tinggi berbanding hartanah kediaman, tetapi ia juga memerlukan modal yang lebih besar.

Sebagai contoh, nilai sewa hartanah komersial biasanya jauh lebih tinggi berbanding hartanah kediaman, dengan sewa bulanan yang boleh mencecah puluhan ribu ringgit. Walau bagaimanapun, kos penyelenggaraan hartanah komersial juga lebih tinggi dan memerlukan perbelanjaan yang tinggi untuk memastikan hartanah berada dalam keadaan baik dan menarik kepada penyewa.

Tanah

Pelaburan dalam tanah salah satu pilihan pelaburan hartanah yang ada. Tanah adalah aset yang sangat fleksibel kerana ia boleh digunakan untuk pelbagai tujuan, termasuk pembangunan kediaman, komersial, atau perindustrian. Tanah juga boleh dijual semula apabila nilai hartanah meningkat.

Pelaburan ini menawarkan potensi pulangan yang lebih tinggi kerana nilai tanah cenderung meningkat seiring dengan perkembangan kawasan sekitarnya. Selain itu, kos penyelenggaraan tanah juga rendah berbanding dengan hartanah yang lain. Walau bagaimanapun, sebelum membuat keputusan untuk membeli tanah, anda perlu membuat kajian yang mendalam terlebih dahulu tentang lokasi dan potensi pembangunan kawasan tersebut.

Amanah Pelaburan Hartanah (REIT)

Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) merupakan satu jenis pelaburan di mana anda melabur dalam satu kumpulan hartanah seperti bangunan pejabat, pusat membeli-belah, atau hotel tanpa perlu membeli hartanah tersebut secara langsung.

Sumber Gambar: isaham.my

Syarikat pengurusan REIT akan menguruskan hartanah ini dan pelabur akan menerima pendapatan pasif dalam bentuk dividen, biasanya daripada hasil sewa hartanah yang dimiliki oleh REIT. Ini merupakan salah satu cara melabur dalam pelaburan hartanah dengan lebih mudah tanpa perlu mengeluarkan modal yang tinggi.

Bagi anda yang mungkin mempunyai modal lebih rendah, anda boleh guna cara ini untuk mendapatkan keuntungan dalam pelaburan hartanah.

Nilai Harta Tanah yang Meningkat

Peningkatan harga hartanah dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan bahawa pelaburan dalam sektor ini mempunyai potensi yang besar untuk meningkatkan nilai kekayaan pelabur. Harga hartanah di Malaysia dijangka terus meningkat berikutan perkembangan ekonomi yang pesat, peningkatan populasi, dan permintaan yang semakin tinggi terhadap rumah serta ruang komersial.

Peningkatan nilai hartanah bukan sahaja berlaku di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, dan Pulau Pinang, malah kawasan-kawasan lain juga menunjukkan pertumbuhan positif. Pelaburan hartanah di kawasan yang sedang pesat membangun dapat memberikan pulangan yang tinggi pada masa akan datang apabila harga meningkat seiring dengan pembangunan infrastruktur dan kemudahan.

Pendapatan Pasif Melalui Penyewaan

Salah satu kelebihan utama pelaburan hartanah adalah peluang untuk memperoleh pendapatan pasif melalui penyewaan. Hartanah kediaman atau komersial yang disewakan dapat memberikan aliran tunai tetap setiap bulan kepada pelabur. Pada tahun 2024, dengan kadar permintaan sewa yang semakin meningkat terutama di kawasan bandar, pelaburan dalam hartanah yang disewakan berpotensi memberikan pulangan yang konsisten.

Selain itu, dengan peningkatan bilangan pelajar universiti dan pekerja profesional yang mencari tempat tinggal di kawasan-kawasan strategik, hartanah berhampiran universiti atau pusat perniagaan utama juga mempunyai potensi sewa yang tinggi. Ini memberikan peluang kepada pelabur untuk memperoleh pendapatan berterusan sambil menikmati kenaikan nilai hartanah pada masa yang sama.

Perlindungan Terhadap Inflasi

Pelaburan hartanah juga dianggap sebagai salah satu cara yang berkesan untuk melindungi kekayaan daripada inflasi. Apabila inflasi berlaku, harga barangan dan perkhidmatan akan meningkat. Perkara ini juga memberi kesan kepada nilai hartanah.

Bagaimanapun, dengan pelaburan hartanah, nilai aset anda berpotensi untuk meningkat seiring dengan inflasi, memastikan kekayaan anda tidak terhakis oleh peningkatan kos sara hidup.

Pada tahun 2024, dengan jangkaan inflasi yang sederhana, pelabur hartanah berpeluang untuk mengekalkan kuasa beli mereka dan memastikan bahawa pelaburan mereka terus memberikan nilai dalam jangka masa panjang.

Dengan kata lain, hartanah boleh berfungsi sebagai “penyimpan nilai” yang stabil dalam suasana ekonomi yang tidak menentu.

Kenaikan Nilai Hartanah (Capital Appreciation)

Selain itu, potensi kenaikan nilai hartanah dari masa ke masa juga menjadikan salah satu kelebihan kepada pelaburan hartanah.. Di Malaysia, terutamanya di kawasan-kawasan strategik seperti Lembah Klang, harga hartanah telah meningkat dengan ketara sepanjang dekad yang lalu.

Walaupun terdapat beberapa tempoh ketidakstabilan ekonomi, trend jangka panjang menunjukkan bahawa harga hartanah terus meningkat.

Pada tahun 2024, pasaran hartanah Malaysia dijangka akan terus mencatatkan kenaikan nilai, terutamanya di kawasan yang sedang berkembang pesat seperti bandar-bandar satelit dan koridor ekonomi.

Contohnya, dengan pembangunan pusat membeli belah Tun Razak Exchange (TRX), ini menjadikan hartanah nilai hartanah di sekitar TRX juga akan meningkat.

Faedah Cukai untuk Pelabur Hartanah

Pelabur hartanah juga boleh menikmati beberapa faedah cukai yang disediakan oleh kerajaan. Di Malaysia, pemilik hartanah boleh mendapat pengecualian cukai tertentu, seperti pengecualian cukai keuntungan harta tanah (CKHT) jika mereka memegang hartanah selama lebih dari lima tahun.

Ini bermaksud bahawa jika pelabur menjual hartanah mereka selepas tempoh ini, mereka tidak perlu membayar cukai ke atas keuntungan yang diperoleh.

Selain itu, pemilik hartanah yang menyewakan hartanah mereka juga boleh menuntut pengecualian cukai ke atas perbelanjaan seperti kos penyelenggaraan dan pembaikan hartanah.

Tips untuk Melabur dalam Hartanah dengan Bijak

Membeli hartanah bukanlah satu perkara yang mudah. Ia memerlukan kajian teliti dan modal pelaburan yang tinggi. Namun, bagi anda yang ingin melabur dalam hartanah anda mungkin boleh mengambil beberapa tips di bawah sebagai panduan:

Lokasi Hartanah

Lokasi hartanah adalah faktor yang paling penting yang akan menentukan nilai pelaburan hartanah anda. Hartanah yang terletak di kawasan strategik seperti pusat bandar atau kawasan yang sedang berkembang pesat mempunyai potensi nilai hartanah yang lebih tinggi dalam jangka panjang.

Oleh itu, seorang pelabur perlu membuat kajian pasaran yang teliti sebelum membuat keputusan untuk melabur dalam mana-mana hartanah di Malaysia.

Kenal Pasti Kos yang Terlibat

Pelaburan hartanah melibatkan pelbagai kos yang perlu diambil kira. Ini termasuk kos pembelian, penyelenggaraan, dan pengurusan. Anda perlu memastikan bahawa pelaburan ini berbaloi dengan mempertimbangkan pulangan yang dijangka berbanding dengan kos yang terlibat. Ia juga penting untuk memahami kos tersembunyi seperti yuran peguam, cukai hartanah, dan insurans.

Pelbagaikan Portfolio Pelaburan Anda

Jangan letakkan semua modal anda dalam satu hartanah sahaja. Pelabur hartanah yang bijak akan mencari pelbagai jenis hartanah untuk meningkatkan keuntungan mereka. Ini termasuk melabur dalam hartanah komersial, hartanah kediaman, atau tanah. Dengan cara ini, jika satu pelaburan tidak memberikan pulangan yang diharapkan, anda masih boleh mendapat manfaat daripada pelaburan lain.

Nilai Kemampuan Kewangan Anda

Pelaburan hartanah bukanlah sesuatu yang mudah. Sebelum memutuskan untuk membuat pelaburan hartanah, sila pastikan kewangan anda mencukupi.

Ini kerana melabur dalam hartanah memerlukan modal yang besar, bukan sahaja untuk membeli hartanah tetapi juga untuk kos lain seperti yuran peguam, duti setem, insurans, dan penyelenggaraan berkala.

Sebelum membuat keputusan untuk melabur, anda perlu memastikan bahawa kewangan anda mencukupi untuk menampung semua kos ini tanpa membebankan diri.

Kesimpulan

Tidak dinafikan bahawa pelaburan hartanah merupakan salah satu pelaburan yang menguntungkan. Walaupun hartanah memerlukan modal awal yang besar serta pengurusan yang teliti, ia memberikan banyak kelebihan kepada pelabur, seperti pulangan pelaburan yang lumayan pada masa hadapan.

Oleh itu, tidak hairanlah mengapa kebanyakan jutawan di Malaysia, malah di seluruh dunia, lebih gemar melabur dalam hartanah berbanding jenis pelaburan lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *