Tips Berguna: Cara Menabung Untuk Pendidikan Anak-Anak

Setiap ibu bapa mempunyai impian besar untuk masa depan anak-anak mereka. Sama ada menjadi seorang doktor, jurutera, atau usahawan, pendidikan adalah asas kepada setiap impian tersebut. Namun, impian ini memerlukan pelaburan kewangan yang besar untuk anak-anak mencapai kejayaan mereka. Tanggungjawab ibu bapa adalah membantu mereka untuk mencapai impian mereka.

Ramai ibu bapa menghadapi dilema bagaimana untuk memastikan pendidikan anak-anak terjamin tanpa menjejaskan kewangan keluarga? Dengan kos pendidikan yang terus meningkat, ramai yang mungkin merasa tertekan mencari dana yang mencukupi untuk menampung pendidikan anak-anak.

Walau bagaimanapun, dengan perancangan yang betul dan dilakukan lebih awal, simpanan yang sedikit tetapi konsisten akan dapat memberikan penyelesaian kepada masalah ini. Dalam artikel ini, kami akan berkongsi beberapa tips atau cara untuk merancang tabungan pendidikan anak-anak anda.

1. Menetapkan Matlamat Kewangan

Untuk menabung, langkah pertama dalam merancang tabung pendidikan anak-anak adalah dengan menetapkan matlamat yang jelas. Sebagai ibu baa, anda perlu membuat anggaran jumlah yang diperlukan untuk pembiayaan pendidikan untuk anak anda.

Ini termasuk mengenal pasti peringkat pendidikan, sama ada pendidikan sekolah rendah, menengah, atau universiti, dan juga faktor-faktor seperti kos yuran, buku, pengangkutan, serta perbelanjaan harian.

Contohnya, jika anda merancang untuk menghantar anak anda ke universiti tempatan, anda mungkin perlu meneliti anggaran yuran universiti awam atau swasta di Malaysia.

Jika universiti swasta menjadi pilihan, kosnya pendidikan mungkin lebih tinggi berbanding universiti awam.

Andai kata anda mempertimbangkan universiti luar negara, sila pastikan untuk menambah perbelanjaan penginapan dan kos hidup di luar negara ke dalam anggaran tabungan pendidikan anak anda.

Dengan menetapkan matlamat kewangan yang realistik dan berdasarkan fakta, ia lebih mudah untuk menentukan berapa banyak yang perlu disimpan setiap bulan atau tahun.

2. Memulakan Tabungan Seawal Mungkin

Masa adalah salah satu faktor paling penting dalam merancang tabungan anak-anak dan juga keluarga. Lagi awal ibu bapa memulakan simpanan, lagi banyak masa yang ada untuk tabungan tersebut berkembang melalui faedah atau pelaburan.

Sebagai contoh, jika anda membuka akaun bank dan mula menyimpan untuk anak sejak kecil lagi, anda akan mempunyai lebih kurang 18 tahun untuk menyimpan bagi pendidikan universiti mereka.

3. Membuat Pilihan Tabungan yang Sesuai

Terdapat pelbagai pilihan tabungan yang boleh digunakan oleh ibu bapa untuk merancang tabungan pendidikan anak-anak. Berikut merupakan beberapa pilihan yang boleh dipertimbangkan termasuk:

Akaun Simpanan

Akaun simpanan adalah cara yang paling mudah untuk mula menyimpan bagi tujuan pendidikan anak-anak.

Walaupun kadar faedah bagi akaun simpanan biasa agak rendah tapi ia memberikan keselamatan dan kemudahan untuk mengakses (memasukkan dan mengeluarkan) wang simpanan pada bila-bila masa sahaja.

Akaun simpanan ini sesuai bagi ibu bapa yang tidak mahu terikat dengan komitmen bulanan yang mungkin akan membebankan mereka. Ini kerana, anda boleh memasukkan duit ke dalam dalam tabung (akaun simpanan) anak pada bila-bila masa sahaja.

Akaun Simpanan Pendidikan

Akaun simpanan pendidikan seperti Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) atau SSPN-i Plus merupakan pilihan yang sering digunakan oleh ibu bapa untuk pendidikan anak-anak mereka. Akaun ini tidak hanya memberikan pelepasan cukai kepada ibu bapa, tetapi juga memberikan insentif tambahan seperti perlindungan insurans secara percuma.

SSPN-i Plus, sebagai contoh, menawarkan simpanan serendah RM30 sebulan, yang disertakan dengan pelan insurans takaful. Dengan adanya pilihan pelan simpanan yang fleksibel, SSPN-i Plus membolehkan ibu bapa membuat simpanan secara teratur untuk pendidikan anak-anak sambil menikmati perlindungan insurans.

Amanah Saham Bumiputera 3-Didik (ASB 3-Didik)

Bagi Bumiputera, Amanah Saham Bumiputera 3-Didik (ASB 3-Didik) adalah pilihan pelaburan yang perlu dipertimbangkan. Dana ini direka khas untuk membantu simpanan pendidikan dengan kadar pulangan yang lebih stabil berbanding akaun simpanan biasa.

ASB 3-Didik memberi peluang kepada ibu bapa untuk menyimpan secara ansuran sambil menikmati pulangan dan tanpa caj perkhidmatan yang tinggi. Keuntungan yang diperoleh daripada dana ini dapat digunakan untuk menampung kos pendidikan tinggi anak-anak pada masa akan datang.

Simpanan Tetap (Fixed Deposit)

Bagi mereka yang mencari cara menabung untuk pendidikan anak yang lebih selamat dan stabil, simpanan tetap (fixed deposit) adalah satu lagi pilihan yang perlu dipertimbangkan.

Simpanan tetap biasanya mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi berbanding akaun simpanan biasa.

Walaupun pulangannya tidak setinggi pelaburan saham atau amanah saham, ia masih menjadi pilihan yang lebih selamat kerana kadar faedah dijamin.

Ibu bapa pula boleh memilih tempoh simpanan tetap yang sesuai dengan rancangan pendidikan anak-anak mereka seperti 5 tahun atau 10 tahun.

Pelaburan Emas

Selain itu, pelaburan emas adalah satu lagi pilihan yang semakin popular di kalangan rakyat Malaysia. Emas telah lama dianggap sebagai pelaburan yang stabil, terutamanya dalam jangka masa panjang.

Ibu bapa boleh membeli emas fizikal seperti jongkong emas atau syiling emas, atau melabur dalam akaun simpanan emas yang ditawarkan oleh beberapa bank.

Nilai emas cenderung meningkat dari masa ke masa dan ini menjadikannya satu pilihan yang baik menabung untuk masa depan.

Walaupun emas tidak memberikan pulangan faedah namun ia adalah pelaburan yang baik untuk memelihara nilai simpanan dalam jangka masa panjang.

4. Mengira Anggaran Kos Masa Hadapan

Kos pendidikan sentiasa meningkat setiap tahun. Oleh itu, penting bagi ibu bapa untuk membuat anggaran kos masa depan dan mengambil kira inflasi dalam perancangan anda. Kos seperti yuran sekolah, buku teks, dan kos hidup mungkin meningkat dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

Sebagai contoh, jika kos pendidikan universiti pada masa ini adalah RM50,000, ia mungkin meningkat menjadi RM80,000 dalam tempoh 10 hingga 15 tahun disebabkan inflasi.

Dengan mengetahui anggaran ini, anda boleh menetapkan sasaran tabungan yang lebih tepat.

5. Membuat Bajet Keluarga dan Simpanan Tetap

Kepada mereka yang ingin memgatur kewangan dan perbelanjaan dengan lebih baik, anda boleh menyediakan bajet keluarga. Ini juga boleh mambantu anda mengatur tabungan pendidikan anak-anak dengan lebih baik.

Anda boleh asingkan wang untuk perbelanjaan bulanan, wang untuk membayar bill seperti bill elektirk dan air, dan mengasingkan wang setiap bulan yang dikhususkan untuk simpanan pendidikan. Wang ini boleh dimasukkan ke dalam akaun simpanan pendidikan dan pelaburan yang telah anda pilih.

Anda boleh menggunakan peraturan 50/30/20, di mana 50% daripada pendapatan digunakan untuk keperluan harian, 30% untuk perbelanjaan lain, dan 20% untuk simpanan dan pelaburan. Dari 20% tersebut, sebahagiannya boleh digunakan untuk tabungan pendidikan anak-anak.

6. Mengambil Kira Sumber Kewangan Lain

Selain tabungan, terdapat pelbagai sumber kewangan lain yang boleh digunakan untuk membiayai pendidikan anak-anak, seperti biasiswa dan pinjaman pendidikan. Sebagai ibu bapa, anda boleh mula merancang lebih awal untuk membantu anak-anak anda memohon biasiswa atau bantuan kewangan lain apabila tiba masanya.

Dengan cara ini, ia boleh membantu mengurangkan beban kewangan anda dan memberikan lebih banyak pilihan kepada anak-anak dalam memilih institusi pendidikan untuk mereka.

Kesimpulan

Merancang tabungan untuk pendidikan anak-anak adalah tanggungjawab penting bagi setiap ibu bapa. Dengan menetapkan matlamat yang jelas dan memulakan simpanan seawal mungkin dengan buka akaun bank simpanan anak-anak, anda boleh memastikan bahawa anda bersedia untuk membiayai pendidikan anak-anak anda tanpa beban dan masalah kewangan yang terlalu berat di masa akan datang. Selain itu, ibu bapa juga mungkin boleh mendidik anak untuk menabung.

Langkah-langkah yang diterangkan dalam artikel ini mungkin dapat membantu anda merancang kewangan anda dengan lebih berkesan. Namun, setiap keluarga mempunyai keadaan kewangan yang berbeza, jadi penting untuk membuat perancangan yang bersesuaian dengan keperluan dan matlamat anda sendiri. Yang paling penting, pastikan anda konsisten untuk menyimpan dan bersedia untuk menghadapi perubahan kewangan di masa hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *