Pelaburan emas merupakan salah satu pelaburan yang terkenal di Malaysia. Tidak kira suri rumah, pekerja profesional, mahupun pelabur tegar, emas sering dianggap sebagai aset yang bernilai tinggi dan mempunyai pelindung nilai yang kukuh. Kebolehan emas untuk mengekalkan nilainya dalam jangka masa panjang membuatkan emas menjadi sakah satu pilihan pelaburan yang menjadi pilihan orang ramai.
Tambahan pula, bagi masyarakat Malaysia, emas bukan sahaja sebuah pelaburan yang menguntungkan tetapi juga merupakan simbol kekayaan dan kestabilan. Namun, ramai yang masih keliru tentang bagaimana cara yang terbaik untuk melabur dalam emas. Adakah perlu membeli emas fizikal seperti jongkong atau syiling emas? Atau lebih baik memilih akaun pelaburan emas yang ditawarkan oleh bank?
Dalam artikel ini, kita akan mengupas secara terperinci tentang kelebihan dan risiko pelaburan emas serta strategi terbaik untuk memastikan pelaburan emas anda memberikan pulangan yang menguntungkan.
Kenapa Anda Perlu Melabur Dalam Emas?
Salah satu sebab utama kenapa pelaburan emas menjadi pilihan rakyat Malaysia adalah kerana ia dianggap sebagai aset yang selamat. Emas boleh bertindak sebagai pelindung nilai terhadap inflasi kerana harga emas cenderung meningkat apabila mata wang negara tertentu mengalami kemerosotan nilai. Sebagai contoh, semasa krisis ekonomi, pelabur sering membeli emas sebagai langkah perlindungan.
Selain itu, emas juga mempunyai nilai yang tinggi kerana permintaan terhadap emas tidak hanya datang daripada sektor pelaburan, tetapi juga daripada industri barang kemas dan teknologi. Nilai ini menjadikan emas boleh digunakan sebagai aset yang fleksibel.
Cara Melabur Dalam Emas
Terdapat beberapa cara untuk melabur dalam emas yang boleh anda cuba antaranya adalah:
1. Emas Fizikal
Pelaburan emas fizikal merupakan pilihan ramai di Malaysia. Membeli emas fizikal seperti jongkong emas atau syiling emas adalah cara yang paling tradisional. Emas fizikal boleh disimpan sendiri atau di peti deposit keselamatan di bank. Namun, ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan:
- Kelebihan: Anda memiliki emas secara langsung dan boleh menjualnya pada bila-bila masa. Ia juga tidak bergantung kepada sistem kewangan atau teknologi.
- Kekurangan: Menyimpan emas secara fizikal memerlukan kos tambahan seperti insurans dan yuran penyimpanan jika anda memilih pihak ketiga untuk menyimpan emas anda. Selain itu, emas fizikal boleh hilang atau dicuri jika tidak disimpan dengan baik.
2. Akaun Pelaburan Emas
Banyak bank di seluruh dunia termasuk Malaysia yang menawarkan akaun pelaburan emas. Antara bank yang menawarkan pelaburan email di Malaysia adalah Bank CIMB, Maybank dan BSN. Akaun ini membolehkan pelabur untuk buka akaun dan membeli dan menjual emas secara elektronik tanpa perlu memiliki emas fizikal. Anda hanya perlu membuka akaun dengan bank yang menawarkan perkhidmatan ini.
- Kelebihan: Mudah untuk membeli atau menjual emas tanpa perlu risau tentang penyimpanan emas fizikal. Selain itu, turun naik harga emas juga boleh dipantau secara langsung.
- Kekurangan: Tidak semua akaun menawarkan emas yang boleh ditebus kepada emas fizikal. Oleh itu, sesetengah pelabur mungkin tidak berpeluang untuk memiliki emas sebenar.
3. Melabur Dalam Syarikat Pelaburan.
Melabur dalam syarikat pelaburan bermaksud, anda melabur sejumlah wang anda ke dalam sebuah syarikat. Kemudian, wang anda tersebut akan diuruskan oleh syarikat pelaburan atau dalam saham syarikat perlombongan emas. Anda tidak memiliki emas secara langsung tetapi anda akan mendapat manfaat atau keuntungan daripada perubahan harga emas.
- Kelebihan: Anda tidak perlu menyimpan emas secara fizikal dan wang pelaburan diuruskan oleh pakar.
- Kekuragan: Pulangan pelaburan bergantung pada turun naik harga emas dan kebolehan syarikat pengurusan pelaburan anda. Selain itu, anda juga terdedah dengan penipuan atau scammer. Oleh itu, anda perlu berhati-hati memilih syarikat pelaburan emas yang baik dan boleh dipercayai.
Kelebihan dan Kekurangan Pelaburan Emas
Kelebihan:
- Emas merupakan aset yang tidak terkesan dengan keadaan inflasi secara langsung. Apabila nilai mata wang jatuh, biasanya nilai emas akan meningkat naik.
- Emas selalu dianggap sebagai aset selamat kerana ia mampu mengekalkan nilainya walaupun ketika keadaan ekonomi atau pasaran kewangan tidak stabil. Dalam masa ketidaktentuan, seperti krisis ekonomi global, kejatuhan pasaran saham, atau konflik geopolitik, banyak aset lain seperti saham, bon, atau mata wang akan mengalami kejatuhan nilai. Sebaliknya, nilai emas cenderung untuk meningkat nilainya atau kekal stabil dalam situasi tersebut. Ini kerana emas tidak bergantung kepada prestasi syarikat, kadar faedah, atau dasar kewangan sesebuah negara.
- Emas boleh dijual dengan mudah. Sama ada emas fizikal atau melalui akaun pelaburan.
Kekurangan:
- Walaupun emas mempunyai nilai yang stabil, tetapi ada masanya ia juga mengalami penurunan harga. Ini kerana, harga emas dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk kadar faedah, permintaan global, dan keadaan ekonomi. Oleh itu, pelabur perlu bersedia menghadapi turun naik harga emas dan tidak terburu-buru untuk menjual emas ketika keadaan ini berlaku.
- Pelaburan emas tidak mempunyai pulangan tetap. Berbeza dengan aset seperti saham atau bon yang memberikan dividen atau faedah kepada pelabur, sebaliknya emas tidak memberikan pulangan tetap. Keuntungan hanya diperoleh apabila harga emas meningkat.
- Jika anda menyimpan emas fizikal melalui pihak ketiga, anda mungkin perlu menanggug kos tambahan untuk keselamatan aset anda.
Faktor Yang Mempengaruhi Harga Emas
Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi harga emas yang perlu diketahui oleh pelabur seperti di bawah ini:
1. Permintaan dan Penawaran
Harga emas bergantung kepada keseimbangan antara permintaan dan penawaran global. Contohnya, apabila permintaan emas dalam industri perhiasan meningkat, harga emas juga akan turut mungkin meningkat.
2. Kadar Faedah
Apabila kadar faedah rendah, pelabur cenderung untuk melabur dalam emas atau beli emas. Ini kerana, dari sudut pandangan perlabur, pulangan daripada aset lain seperti simpanan bank menjadi kurang menarik dan menguntungkan.
3. Kestabilan Ekonomi
Dalam situasi krisis atau ketidaktentuan ekonomi, harga emas biasanya naik. Hal ini kerana, ketika keadaan ini berlaku, pelabur akan cenderung untuk mencari aset selamat berbanding wang tunai.
4. Nilai Mata Wang
Turun naik nilai mata wang juga mempengaruhi nilai emas terutamanya Dolar Amerika Syarikat. Kerana ia boleh memberi kesan langsung kepada harga emas di pasaran global. Apabila dolar AS menurun, harga emas akan cenderung meningkat.
Bagaimana Harga Emas Harian Dibuka?
Harga emas harian ditentukan melalui pelbagai faktor global yang melibatkan permintaan dan penawaran emas di pasaran antarabangsa. Salah satu rujukan utama dalam menetapkan harga emas adalah London Gold Fixing, iaitu penetapan harga emas oleh beberapa bank terkemuka di London. Proses ini dilakukan dua kali sehari, sekali pada waktu pagi dan sekali pada waktu petang.
Bank-bank ini akan menentukan harga emas berdasarkan permintaan dan penawaran emas pada masa itu dan harga ini akan dijadikan sebagai rujukan di seluruh negara.
Tips Melabur Dalam Emas
1. Tetapkan Tujuan Pelaburan
Sebelum anda melabur dan membeli emas, ada baiknya anda menentukan tujuan pelaburan emas anda terlebih dahulu. Setiap individu mempunyai matlamat pelaburan yang berbeza. Dengan mengetahui matlamat ini, ia akan dapat membantu anda merancang pelaburan emas anda dengan baik.
Biasanya, orang ramai melabur dalam emas dengan beberapa tujuan antaranya adalah untuk menyimpan nilai kekayaaan, untuk mendapatkan keuntungan di masa depan dan melindungi aset kepada turun naik pasaran.
2. Pantau Harga Emas Selalu
Walaupun emas sering dianggap sebagai salah satu aset yang paling stabil, ia tetap tidak terlepas daripada turun naik harga di pasaran. Seperti yang saya sebut di atas, perubahan harga emas boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti kadar faedah, nilai mata wang, permintaan global, dan sebagainya.
Oleh itu, pelabur perlu sentiasa peka terhadap perubahan ini untuk memastikan mereka membuat keputusan yang tepat bila masa untuk membeli dan menjual emas dengan sesuai.
3. Pilih Kaedah Pelaburan Emas Yang Sesuai
Pilihlah kaedah pelaburan emas yang sesuai dengan kemampuan anda. Ada beberapa cara untuk melabur dalam ema dan setiap jenis pelaburan ini mempunyai kelebihan serta kekurangannya sendiri. Oleh itu, sila pilih pelaburan yang sesuai dengan kemampuan kewangan dan juga tujuan pelaburan anda.
Adakah Pelaburan Emas Berbaloi?
Jawaban kepada soalan ini adalah ia bergantung tujuan pelaburan anda. Jika anda ingin melindungi nilai aset dan kekayaan anda daripada inflasi atau ketidaktentuan ekonomi, emas adalah pilihan yang baik kerana sifatnya sebagai aset selamat. Namun, jika anda mengharapkan pulangan tinggi dalam jangka masa pendek, emas mungkin bukan pilihan terbaik kerana ia lebih sesuai sebagai pelaburan jangka panjang.
Selain itu, pelaburan emas juga akan lebih berbaloi jika dilakukan dengan strategi yang tepat. Seperti membeli ketika harga rendah dan menjual apabila harga meningkat. Perlu diingat, emas bukanlah aset yang memberikan pulangan berkala seperti dividen atau faedah. Sebaliknya, ia lebih kepada penyimpanan nilai kekayaan.
Kesimpulan
Pelaburan emas merupakan salah satu pelaburan yang baik. Walaupun emas tidak memberikan pulangan tetap, namun ia boleh menjadi pelindung nilai aset yang kukuh terhadap inflasi dan ketidaktentuan ekonomi.
Jika anda ingin melabur dalam emas, pastikan anda mengetahui risiko dan faedahnya. Sama ada anda memilih untuk membeli emas fizikal, membuka akaun pelaburan emas, atau melabur dalam dana emas, pastikan anda melakukannya secara terancang dan berdasarkan objektif pelaburan anda sendiri.
Ingatlah, pelaburan emas lebih daripada sekadar membeli dan menyimpan emas. Ia memerlukan perancangan yang baik untuk memastikan ia menjadi aset yang memberi manfaat dalam jangka masa panjang.