Sentimen Pasaran Saham: Bagaimana ia Mempengaruhi Harga Saham?

Perubahan harga pasaran saham dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Salah satu daripada faktor utama yang memberi kesan kepada harga saham adalah sentimen pasaran saham. Sentimen ini merujuk kepada emosi dan tanggapan pelabur terhadap keadaan ekonomi semasa yang akan mendorong tindakan mereka di pasaran saham.

Dalam artikel ini, kita akan meneroka bagaimana sentimen pasaran boleh mempengaruhi harga saham, serta bagaimana pelabur boleh menilai sentimen ini untuk membuat keputusan pelaburan yang lebih baik.

Apa Itu Sentimen Pasaran Dalam Saham?

Sentimen pasaran saham merujuk kepada tenggapan pelabur terhadap keseluruhan pasaran saham pada masa tertentu. Tanggapan ini biasanya berbentuk positif, negatif, atau neutral. Sentimen ini biasanya dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk data ekonomi, keputusan syarikat, politik, dan peristiwa global. Walaupun sentimen ini sukar diukur secara tepat namun ia boleh dilihat melalui tindakan pelabur dalam pasaran saham, jumlah dagangan, dan perubahan harga saham di pasaran.

Apabila pelabur menpunyai harapan yang tinggi dan positif terhadap ekonomi atau prestasi syarikat tertentu, mereka akan lebih cenderung untuk membeli saham yang menyebabkan harga saham meningkat. Perkara ini memberi mata kepada syarikat tertentu.

Sebaliknya, apabila sentimen pasaran lebih ke arah negatif, pelabur akan menjual saham mereka dan ini menyebabkan harga saham turut jatuh. Pasaran saham yang dipacu oleh sentimen sering kali berubah-ubah dan bergantung pada reaksi pelabur terhadap maklumat yang disediakan.

Di Bursa Malaysia, jumlah dagangan sering digunakan sebagai petunjuk sentimen pasaran saham. Jumlah dagangan yang tinggi menunjukkan permintaan yang meningkat, manakala pasaran yang menurun dengan kaunter tidak berubah atau saham yang tidak diniagakan menunjukkan sentimen yang lebih neutral atau negatif.

Faktor-faktor yang Memacu Sentimen Pasaran Saham

Terdapat beberapa faktor utama yang memacu berlakunya sentimen pasaran ini, antaranya adalah:

1. Keadaan Ekonomi Semasa

Ekonomi yang stabil dan berkembang biasanya akan mendorong kepada sentimen positif kerana pelabur melihat peluang keuntungan yang lebih tinggi. Sebaliknya, ketidaktentuan ekonomi seperti kemelesetan atau krisis kewangan akan menyebabkan sentimen pasaran menjadi negatif. Kadar pertumbuhan ekonomi, kadar faedah, dan inflasi merupakan antara penunjuk yang sering diikuti oleh pelabur untuk menilai sentimen pasaran.

2. Prestasi Syarikat

Saham yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat boleh meningkat atau menurun bergantung bagaimana prestasi syarikat tersebut dilihat oleh pasaran. Apabila sebuah syarikat melaporkan keuntungan yang lebih tinggi dan melampaui jangkaan maka, sentimen pasaran saham akan cenderung menjadi positif. Perkara ini akan membuatkan permintaan saham syarikat tersebut akan meningkat. Sebaliknya, jika syarikat melaporkan kerugian, sentimen pasaran boleh menjadi negatif yang akan menyebabkan harga sahamnya jatuh.

3. Isu Politik dan Geopolitik

Keputusan politik dan ketegangan geopolitik juga memberi kesan besar terhadap sentimen pasaran. Misalnya, pasaran mungkin mengalami ketegangan apabila berlaku perubahan besar dalam dasar kerajaan atau konflik antarabangsa. Keputusan politik yang mempengaruhi persekitaran perniagaan dan ekonomi yang boleh memberi kesan langsung kepada sentimen pasaran saham.

4. Peristiwa Global

Sentimen pasaran saham juga dipengaruhi oleh peristiwa global seperti bencana alam, pandemik, atau krisis kewangan antarabangsa. Peristiwa-peristiwa ini dapat menjejaskan ekonomi global dan menyebabkan pelabur merasa cemas yang boleh membawa kepada penjualan besar-besaran saham di seluruh dunia.

5. Analisis Teknikal dan Fundamental

Pedagang saham sering menggunakan analisis teknikal dan fundamental untuk menilai saham. Analisis teknikal biasanya fokus kepada carta harga dan jumlah dagangan, manakala analisis fundamental memberi tumpuan kepada data kewangan syarikat dan keadaan ekonomi. Indeks pasaran seperti Bursa Malaysia juga memberikan petunjuk yang berguna tentang sentimen pasaran di Malaysia.

Bagaimana Sentimen Pasaran Mempengaruhi Harga Saham?

Sentimen pasaran memberi kesan langsung kepada harga saham di seluruh dunia melalui perubahan permintaan dan penawaran. Apabila pelabur berasa yakin, mereka akan membeli lebih banyak saham yang menyebabkan permintaan meningkat dan harga saham naik. Sebaliknya, apabila pelabur berasa tidak yakin, mereka mungkin cenderung menjual saham mereka dan meningkatkan penawaran di pasaran yang membuat harga saham jatuh.

Sebagai contoh, sentimen positif mungkin berlaku apabila ekonomi menunjukkan pertumbuhan yang lebih baik, data pekerjaan yang kukuh, atau keuntungan syarikat yang melebihi jangkaan. Keadaan ini akan menarik pedagang untuk membeli saham.

Ini menyebabkan jumlah dagangan meningkat dengan harga saham yang turut melonjak. Sebaliknya, ketidaktentuan ekonomi atau peristiwa global seperti pandemik atau peperangan boleh mencetuskan sentimen negatif, di mana pelabur menjual saham secara besar-besaran yang menyebabkab paras harga saham jatuh.

Peranan Pelabur Dalam Menghadapi Sentimen Pasaran

Sebagai pelabur, anda perlu memahami sentimen pasaran saham agar anda boleh membuat keputusan pelaburan yang tepat. Dalam situasi di mana sentimen adalah positif, pelabur mungkin memilih untuk membeli saham yang lebih tinggi, tetapi mereka juga perlu berhati-hati kerana harga saham yang tinggi belum tentu menjamin keuntungan yang lumayan.

Sebaliknya, dalam keadaan sentimen pasaran yang negatif, pelabur mungkin boleh mencari peluang untuk membeli saham pada harga yang lebih rendah. Biasanya, kaunter untung meningkat ketika sentimen ekonomi positif. Sebaliknya, kaunter rugi meningkat ketika pasaran menurun.

Petunjuk yang penting dalam mengenal pasti sentimen pasaran adalah termasuk pergerakan indeks utama, jumlah dagangan, dan harga saham syarikat yang berprestasi tinggi. Anda boleh menggunakan analisis teknikal untuk mengenal pasti corak yang menunjukkan perubahan dalam sentimen pasaran. Saham yang stabil dengan prestasi yang baik mungkin dapat mengatasi kaunter yang lain semasa fasa ketidaktentuan ekonomi.

Kesimpulan

Pasaran saham merupakan salah satu pasaran terbesar di dunia, dengan berjuta-juta unit, bernilai bilion ringgit didagangkan setiap hari. Sentimen pasaran saham memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan harga saham di Bursa Malaysia dan pasaran saham global.

Ia boleh dipengaruhi oleh faktor ekonomi, politik, dan sosial yang berlaku di dalam dan luar negara. Dengan memantau sentimen pasaran, pelabur dapat membuat keputusan yang lebih baik mengenai saham yang hendak dibeli atau dijual.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *