Dalam situasi ekonomi yang tidak menentu ini, ramai yang mula memikirkan cara untuk menambah pendapatan atau menggandakan simpanan sedia ada.
Selain dari membuat kerja sampingan, antara cara yang anda boleh lakukan untuk menggandakan wang adalah dengan membuat pelaburan.
Pelaburan pada asasnya ialah satu komitmen dana pada sesuatu aset untuk satu tempoh tertentu, bertujuan untuk meningkatkan potensi jumlah wang yang anda miliki.
Bila bercakap mengenai pelaburan, ramai yang masih takut-takut dan ragu-ragu untuk bermula, memandangkan ianya datang dengan risiko.
Sebenarnya, setiap pelaburan datang dengan tahap risiko yang berbeza. Untuk anda yang ingin berjinak-jinak dengan pelaburan, anda boleh mula melabur dalam pelaburan berisiko rendah dengan pulangan yang lebih sederhana.
Dengan itu, jika anda sedang mencari pelaburan yang selamat dan menguntungkan, berikut adalah sembilan pilihan pelaburan untuk anda pertimbangkan!
1. Pelaburan Tabung Haji
Lembaga Tabung Haji ialah satu organisasi yang bertanggungjawab untuk menyediakan kemudahan perkhidmatan haji dan pengurusan simpanan yang sistematik.
Selain itu, Tabung Haji juga turut menjalankan aktiviti pelaburan, di mana simpanan pendeposit akan dilaburkan dalam syarikat-syarikat seperti perniagaan atau pembiayaan Islamik, untuk memberi pulangan yang kompetitif dengan tahap risiko yang rendah.
Sekiranya anda melabur dalam Tabung Haji, anda boleh mendapat pulangan setiap tahun dalam bentuk dividen (dan juga bonus). Pengiraan dividen ini pula bergantung kepada prestasi kewangan Tabung Haji serta prestasi pasaran domestik dan global untuk tahun semasa. Oleh itu, jumlah dividen yang anda terima mungkin akan berbeza setiap tahun.
Dengan pelaburan Tabung Haji, modal simpanan anda dijamin. Selain itu, anda boleh bermula dengan modal yang rendah untuk jumlah dividen yang agak kompetitif.
Dividen yang diterima juga dikecualikan cukai; malah, pihak Tabung Haji juga akan turut membuat kiraan zakat untuk dividen yang anda terima. Anda juga boleh mengeluarkan simpanan anda bila-bila masa sahaja.
2. Amanah Saham Bumiputera (ASB)
Ditubuhkan pada 1989, Amanah Saham Bumiputera merupakan unit amanah yang diuruskan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB). Penubuhan ASB bertujuan untuk membantu pelabur bumiputera untuk mengumpul simpanan bagi satu tempoh yang panjang.
Selain Tabung Haji, ASB ialah salah satu pilihan pelaburan yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Selain dari modal permulaan yang rendah, ASB juga boleh memberi pulangan yang kompetitif untuk pelabur-pelaburnya. Tambahan lagi, pelabur juga boleh menjual semula unit ASB mereka pada bila-bila masa.
Seperti Tabung Haji, pengagihan pendapatan ASB juga dilakukan setiap tahun, bergantung pada prestasi pasaran dan pengurusan portfolio mereka.
3. Pelaburan Emas
Emas; digayakan bersinar, disimpan memberi untung, dijual membawa pulangan yang tinggi!
Ramai yang dah mula berjinak-jinak dengan emas untuk tujuan pelaburan. Dengan harga yang sentiasa stabil, emas dikatakan kalis inflasi.
Selain itu, aset emas mudah dicairkan dan laku dijual di mana-mana sahaja ketika dalam keadaan terdesak. Anda juga ada pilihan untuk memajak emas tersebut, bergantung pada situasi kewangan anda.
Untuk yang ingin melabur dalam jangka masa yang panjang, anda digalakkan untuk melabur dalam emas. Ini kerana, walau dalam apa jua situasi ekonomi sekalipun, nilai emas tetap akan berada pada tahap yang tinggi.
4. Pelaburan Hartanah
Hartanah juga adalah salah satu medium pelaburan yang paling popular di Malaysia. Baik perumahan mahupun komersial, pelaburan hartanah menjanjikan pulangan yang tinggi berikutan permintaan yang stabil dan juga harga hartanah yang sentiasa meningkat.
Manfaat terbesar sekiranya anda membuat pelaburan dalam hartanah ialah pelaburan ini menjamin aset yang anda miliki. Aset ini juga boleh membeli aliran tunai positif, lebih-lebih lagi jika lokasi hartanah anda berada di tempat yang strategik.
Hartanah juga tidak mempunyai nilai susut yang ketara, menjadikan ianya satu pelaburan yang menguntungkan. Nilai hartanah anda juga kalis inflasi, bermakna harga hartanah anda mungkin akan meningkat lebih tinggi dari semasa ke semasa.
5. Pelaburan Saham Koperasi Bank Rakyat
Anda juga boleh mempertimbangkan pelaburan Saham Koperasi Bank Rakyat untuk mendapat pulangan yang tinggi. Dengan rekod pulangan sentiasa melebihi 10% setahun dan tahap risiko yang rendah, Saham Koperasi Bank Rakyat menjadi salah satu pilihan pelaburan popular di Malaysia.
Pelaburan ini berfungsi dengan menjadikan caruman sebagai modal perniagaan syarikat koperasi melalui pegangan syer mereka. Dengan keuntungan yang diperolehi, pelabur-pelabur akan mendapat pulangan yang tinggi melalui bentuk dividen.
Namun begitu, untuk mula melabur di Koperasi Bank Rakyat, anda perlu membuat permohonan terlebih dahulu. Permohonan ini hanya dibuka pada waktu tertentu, bergantung kepada kuota yang terhad. Anda perlu sentiasa perhatikan pengumuman dari Bank Rakyat.
6. Pelaburan Unit Amanah
Unit Amanah atau lebih dikenali sebagai Unit Trust adalah satu jenis pelaburan di mana dana yang dikumpulkan dari pelabur akan diuruskan oleh seorang pengurus dana professional. Pengurus ini akan melaburkan dana anda ke dalam pelbagai portfolio sekuriti seperti saham syarikat terkemuka dan aset atau bon lain.
Melalui pelaburan ini, harganya boleh berubah mengikut nilai saham yang telah dibeli oleh pengurus dana anda. Kalau harga saham tersebut naik, maka tinggilah keuntungan yang anda akan dapat.
Sebelum mula melabur, pastikan anda telah membuat kajian sebelum membuat sebarang keputusan. Jangan mudah terpengaruh dengan pelbagai marketing “pulangan tinggi setiap tahun” dari ejen di luar sana.
Saya juga galakkan anda untuk memastikan bahawa ejen tersebut telah mendapat kelulusan yang sepatutnya suntuk mengelakkan sebarang penipuan.
7. Deposit Tetap
Deposit tetap adalah sejenis simpanan dengan kadar faedah yang tetap. Dengan deposit tetap, anda perlu ‘peram’ simpanan anda tanpa mengeluarkannya untuk satu tempoh masa yang tertentu, biasanya sehingga lima tahun.
Deposit tetap menjadi pilihan ramai kerana ianya disokong oleh kerajaan. Selain itu, pulangan yang diberikan juga adalah dijamin. Tambahan pula, individu yang berminat untuk membuka akaun simpanan tetap boleh bermula dengan serendah RM1000, menjadikannya satu bentuk pelaburan yang mudah diakses oleh siapa sahaja.
Setiap bank menawarkan tempoh matang dan kadar faedah yang berbeza. Kebiasaannya, lebih lama tempoh simpanan anda, lebih tinggi kadar faedah yang akan ditetapkan.
Jadi, anda disarankan untuk membuat pilihan yang sesuai dengan situasi kewangan dan komitmen anda.
8. Skim Persaraan Swasta (PRS)
Private Retirement Scheme (PRS) juga dikenali sebagai Skim Persaraan Swasta diperkenalkan pada tahun 2012, dengan tujuan untuk membantu anda melabur bagi meningkatkan simpanan persaraan anda.
Pelaburan PRS diselia oleh penyedia PRS dan dipantau oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Oleh itu, ianya selamat dan terjamin.
Sesuai dengan namanya, PRS adalah satu pelaburan jangka masa panjang yang terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk mendapat pulangan dan simpanan yang terkawal, bagi kegunaan selepas bersara.
Anda juga boleh bermula dengan sumbangan minima bergantung kepada penyedia PRS yang anda pilih. Ini bermakna, semakin tinggi anda menyimpan, semakin tinggi potensi pulangan yang anda akan terima.
Namun, untuk PRS, anda hanya boleh keluarkan wang yang anda laburkan apabila mencapai umur persaraan.
Oleh itu, sebelum nak buat pelaburan PRS, anda perlu pertimbangkan beberapa faktor seperti umur, pendapatan, risiko, objektif persaraan serta kesesuaian situasi kewangan anda dengan dana-dana yang ditawarkan dalam pelaburan PRS.
9. Pelan Takaful Pelaburan
Apabila bercakap mengenai Takaful, ramai yang menganggap ianya satu insuran dan perlindungan berasaskan hukum Islam.
Tapi, tahukah anda, Takaful juga menyediakan peluang pelaburan?
Dengan modal yang rendah, melabur dalam takaful adalah mudah dan selamat untuk anda yang ingin menggandakan wang anda tanpa risiko yang tinggi. Fungsi pelaburan dalam takaful adalah untuk menstabilkan kadar caruman apabila kos tabarruk dalam polisi mula meningkat.
Dengan kata lain, pelaburan takaful adalah pelaburan jangka panjang yang memerlukan komitmen bayaran berterusan untuk anda mendapat manfaat perlindungan.
Seperti pelaburan lain, lebih lama anda melabur, lebih tinggi pulangan yang akan dijanakan.
Namun, saya cadangkan anda utamakan perlindungan dahulu sebelum mula melabur dengan takaful.
Kenapa anda perlu melabur?
Ramai yang tahu bahawa pelaburan boleh memberikan pulangan yang lumayan dan boleh menjamin kestabilan kewangan di masa hadapan. Namun begitu, ramai yang masih bertangguh untuk bermula. Ramai juga yang tidak menyedari kelebihan jika kita bermula lebih awal.
Untuk golongan muda di luar sana, saya nasihatkan untuk anda memulakan pembacaan dan memahami mengenai pelaburan untuk kesihatan kewangan pada masa akan datang. Semakin cepat anda mula, semakin tinggi pulangan yang anda bakal terima.
Melabur juga boleh membantu kita menangani inflasi, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Nilai duit kita pada hari ini mungkin akan mengecil jika dibandingkan 10 tahun akan datang.
Aktiviti pelaburan juga boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan sampingan. Yang penting, anda perlu bijak mencari peluang pelaburan yang rendah risiko tetapi memberikan pulangan yang kompetitif.
Tips untuk mula melabur
1. Anda boleh mula melabur secepat mungkin sekiranya anda mampu. Pastikan anda telah menyelesaikan komitmen bulanan dan simpanan, sebelum anda membuat pelaburan.
2. Kalau boleh, kekalkan pelaburan anda untuk jangka masa yang panjang dan jangan sentuh pulangan yang diterima. Melalui cara ini, anda akan mendapat pulangan hasil kompaun terkumpul (compounding returns) yang lebih tinggi.
Formulanya mudah. Jika anda tidak mengeluarkan pulangan pelaburan anda, ia akan dilaburkan semula. Hasilnya, anda akan mendapat jumlah pulangan jauh lebih tinggi. Jadi melaburkah untuk jangka masa panjang.
3. Pelbagaikan pelaburan anda agar anda boleh mengurus risiko dengan lebih baik. Contohnya, jika anda sudah melabur di Tabung Haji, maka pelbagaikan lagi pelaburan anda dengan ASB dan PRS. Mudah, kan?
Persediaan Sebelum Melabur
Sebelum anda melabur, sila pastikan anda telah menyusun komitmen setiap bulan. Melabur merupakan satu komitmen jangka panjang, jadi kalau anda tidak mempunyai cashflow yang bagus, saya nasihatkan untuk anda susun komitmen bulanan dahulu.
Jangan gunakan simpanan kecemasan untuk melabur! Pelaburan bukanlah situasi kecemasan, jadi utamakan simpanan dahulu ya!
Paling penting, ambil tahu risiko setiap pelaburan yang anda ingin lakukan. Sesuaikan pilihan pelaburan dengan keadaan kewangan anda ok!
Kesimpulan
Setiap pelaburan hadir dengan risiko. Maka, anda perlu jadi pelabur yang bijak dan boleh menilai tahap risiko dengan baik sebelum menyusun strategi pelaburan.
Saya harap perkongsian kali ini boleh membuka mata anda pelaburan di Malaysia dan pentingnya untuk anda mula melabur. Cuba lah dengan pelaburan berisiko rendah dahulu sebelum anda melangkah lebih jauh 🙂
Selamat melabur!