Cryptocurrency di Malaysia: Bagaimana Untuk Beli & Jual Crypto Secara Sah & Selamat?

Kebelakangan ini, cryptocurrency seperti Bitcoin dan Ethereum semakin popular sebagai pilihan pelaburan. Adakah anda bertanya bagaimana anda boleh membeli dan menjual cryptocurrency di Malaysia secara sah dan selamat? Saya berharap agar artikel ini boleh membantu anda untuk mendapatkan informasi yang relevan. 

Apa itu Cryptocurrency? 

Cryptocurrency adalah mata wang digital yang terdesentralisasi dan berdasarkan teknologi rantaian blok (blockchain). Ia merupakan subkelas unik aset digital yang menggunakan kriptografi, teknik penyulitan canggih yang boleh menjamin keaslian aset crypto. 

Aset digital adalah apa sahaja yang terdapat dalam data binari (binary data) yang serba lengkap, dapat dikenali secara unik, dan mempunyai nilai atau kemampuan untuk digunakan. 

Istilah ‘aset digital’ mula digunakan pada pertengahan tahun 90an. Pada ketika itu, ia hanya merangkumi video, gambar, audio, dan dokumentasi. Tetapi Bitcoin membawa makna baru kepada  makna aset digital kerana ia adalah kali pertama kriptografi dan teknologi rantaian blok atau blockchain digabungkan untuk menghasilkan aset digital. Menarik, kan? 

Berbeza dengan matawang fiat (fiat currency), cryptocurrency tidak dikeluarkan oleh mana-mana bank pusat yang mengurus dan mengekalkan nilainya. Sebaliknya, cryptocurrency diedarkan secara meluas di kalangan pengguna cryptocurrency melalui Internet.

Berapakah Bilangan Cryptocurrency Di Pasaran? 

Pada ketika ini, data daripada CoinMarketCap menunjukkan bahawa terdapat lebih daripada 10,000 cryptocurrency di pasaran, dengan Bitcoin, Ethereum, Tether, Binance Coin, dan Cardano memegang jumlah permodalan pasaran (market cap) yang tertinggi. 

Kredit gambar: Executium – Unsplash

Adakah Semua Cryptocurrency Diluluskan di Malaysia? 

Walaupun terdapat begitu banyak cryptocurrency di pasaran, hanya lima cryptocurrency yang telah diluluskan di Malaysia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, atau Securities Commission Malaysia. Lima cryptocurrency ini adalah Bitcoin (BTC), Bitcoin Cash (BCH), Ethereum (ETH), Ripple (XRP) dan Litecoin (LTC). 

Securities Commission, yang ditubuhkan pada 1 Mac 1993, merupakan badan berkanun swabiaya yang bertanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia. 

Regulasi Cryptocurrency di Malaysia 

Bank Negara Malaysia (BNM) tidak mengiktiraf cryptocurrency sebagai tender yang sah (legal tender di Malaysia). Ini bermaksud bahawa cryptocurrency bukan wang yang diterima secara sah untuk pertukaran barang dan perkhidmatan di Malaysia. Walaubagaimanapun, BNM mengakui bahawa terdapat banyak kegunaan aset digital, termasuk sebagai pelaburan. 

Securities Commission mula mengawal selia industri cryptocurrency di Malaysia pada 15 Januari 2019, apabila Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penetapan Sekuriti) (Matawang Digital dan Token Digital) 2019 atau Capital Markets and Services (Prescription of Securities) (Digital Currency and Digital Token) Order 2019 mula berkuat kuasa. Mana-mana cryptocurrency exchange yang beroperasi di Malaysia mesti mendapatkan kebenaran daripada Securities Commission. 

Pada ketika ini, hanya tiga cryptocurrency exchange yang telah diluluskan oleh Securities Commission untuk membeli dan menjual cryptocurrency, iaitu Luno Malaysia, Sinegy Technologies, dan Tokenize Technology. 

Kredit gambar: Pierre Borthiry – Unsplash

Luno Malaysia 

Pada Oktober 2019, Luno menjadi cryptocurrency exchange yang pertama untuk menerima kelulusan penuh daripada Securities Commission walaupun Luno telah mula memasuki pasaran Malaysia sejak 2015. 

Pembukaan Akaun

Untuk bermula menggunakan platform Luno, anda perlu membuka akaun terlebih dahulu. 

Untuk membuka akaun, di antara butiran yang diperlukan adalah seperti nama, kewarganegaraan, tarikh lahir, alamat, dan pekerjaan anda. Anda juga perlu mengambil gambar MyKad dan selfie anda ketika proses ini. 

Anda akan menerima e-mel selepas akaun anda diluluskan. Untuk kes-kes yang tertentu, anda mungkin diminta untuk memberikan dokumen tambahan. 

Apa Maklum Balas Saya? 

Saya mendapati bahawa proses pembukaan akaun adalah mudah, cepat, dan tidak mengelirukan. Pastikan bahawa anda mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Luno ketika mengambil gambar agar gambar anda jelas and verifikasi senang dilakukan oleh pihak Luno. 

Pindahan Wang 

Selepas akaun anda telah dibuka, anda perlu memindahkan wang kepada ‘Luno Wallet’ anda untuk mula membeli cryptocurrency. Anda perlu menggunakan ‘Luno Wallet’ untuk membeli, menjual, menghantar, menerima and melabur crypto anda. 

Untuk pindahan wang, antara kaedah yang boleh digunakan adalah melalui ‘bank transfer’ atau melalui platform FPX.  Pihak Luno tidak menerima deposit yang dibuat daripada akaun bank yang bukan di atas nama anda (third party). Ini termasuk akaun bank syarikat atau perniagaan yang dimiliki anda. 

Pada ketika ini, cryptocurrency yang terdapat di platform Luno adalah Bitcoin (BTC), Bitcoin Cash (BCH), Ethereum (ETH), Ripple (XRP), dan Litecoin (LTC). 

Yuran

Yuran perdagangan atau ‘trade fees’ adalah berdasarkan kepada jumlah perdagangan dalam tempoh 30 hari. ‘Maker fees’ adalah di antara 0% – 0.25% dan ‘taker fees’ adalah di antara 0.15% – 0.50%.  Anda boleh mendapatkan maklumat yang lebih lanjut tentang yuran yang dikenakan oleh Luno di sini. 

Sinegy Technologies 

Ditubuhkan pada tahun 2017, Sinegy Technologies juga merupakan salah satu cryptocurrency exchange yang telah diluluskan oleh Securities Commission.

Pembukaan Akaun

Untuk membuka akaun, anda boleh melayari laman web Sinegy di sini. Anda boleh memilih untuk membuka akaun peribadi atau korporat.

Selepas mendaftar, anda perlu memberikan butiran-butiran seperti nama, tarikh lahir, jantina, kewarganegaraan, dan nombor telefon bimbit. Anda juga perlu mengesahkan perkara-perkara ini:

  • Adakah anda kini menetap di Malaysia?
  • Adakah anda seorang Politically Exposed Person (PEP)?

Selain daripada itu, anda juga perlu memberikan maklumat Dokumen Identiti Nasional anda (kad pengenalan, lesen memandu, atau pasport). Selepas ini, anda perlu mendaftarkan alamat semasa anda dan menyertakan dokumen sebagai ‘proof of address’. 

Untuk ‘proof of address’, anda boleh memilih di antara bil utiliti (bil elektrik, telco, atau internet) yang didaftarkan di bawah nama dan alamat anda, ataupun penyata bank yang menunjukkan alamat semasa anda (anda tidak perlu mendedahkan baki anda). Dokumen yang anda pilih tidak boleh melebihi 3 bulan. 

Selepas ini, anda perlu memuat naikkan Dokumen Identiti Nasional yang telah anda pilih. Akhirnya, anda perlu mengambil ‘selfie’ untuk mengesahkan identiti anda. Selepas akaun anda dibuka, anda akan menerima e-mel daripada pihak Sinegy. 

Apa Maklum Balas Saya? 

Saya memilih untuk membuka akaun personal dengan Sinegy. Berbanding dengan Luno, pihak Sinegy memerlukan lebih banyak maklumat untuk pembukaan akaun. Walau bagaimanapun, proses pembukaan akaun adalah mudah. Adalah dinasihatkan agar anda membaca soalan-soalan lazim ini sebelum membuka akaun. 

Pindahan Wang 

Untuk memindahkan wang, anda perlu menambahkan butiran akaun bank anda terlebih dahulu. Anda boleh menambahkan lebih daripada satu akaun bank, tetapi anda tidak boleh menggunakan akaun ‘third party’, atau akaun yang bukan di atas nama anda. 

Untuk pindahan wang, anda boleh menggunakan ‘instant transfer’ atau ‘telegraphic transfer’. Panduan yang lebih lanjut mengenai proses ini boleh didapati di sini.

Pada ketika ini, platform Sinegy menawarkan hanya dua cryptocurrency sahaja iaitu Bitcoin dan Ethereum. Seperti platform Luno, anda juga perlu mencipta ‘wallet’ untuk menyimpan cryptocurrency anda. 

Untuk mencipta wallet anda, anda boleh melayari pautan ini.  

Yuran

‘Taker fee’ adalah 0.5% dan pada ketika ini, semua ‘maker trade’ akan menerima rebat sebanyak 0.25% melalui system rebat Sinegy. Maklumat yang lebih lanjut mengenai yuran yang dikenakan oleh Sinegy boleh didapati di sini.

Tokenize Technology 

Selepas Tokenize menerima kelulusan penuh daripada Securities Commission pada 1 April 2020, Kenanga Investment Bank Berhad mengumumkan pada 8 February 2021 bahawa ia telah membuat perjanjian bersyarat untuk memperoleh 19.0% ekuiti dalam Tokenize Malaysia. 

Pembukaan Akaun 

Untuk membuka akaun dengan Tokenize, anda boleh melayari pautan ini. 

Anda perlu mengisi maklumat seperti jantina, pekerjaan, kewarganegaraan, dan alamat. Selepas itu, anda boleh menggunakan kad pengenalan atau pasport anda untuk mengesahkan identity anda. Anda juga perlu memberikan ‘proof of address’ serta mengambil ‘selfie’. 

Pihak Tokenize akan menghantar e-mel kepada anda selepas akaun dibuka. Maklumat lanjut mengenai proses pembukaan akaun boleh didapati di sini. 

 Apa Maklum Balas Saya?

Saya mendapati bahawa arahan yang jelas diberikan sepanjang proses pembukaan akaun. Namun, untuk proses yang lebih cepat, pastikan anda mengikuti arahan yang diberikan ketika mengambil ‘selfie’ untuk mengelakkan daripada mengambil gambar berulang kali. 

Pindahan Wang 

Selepas anda berjaya membuka akaun, berikut adalah langkah-langkah untuk memindahkan wang: 

Langkah 1: Buka aplikasi Tokenize dan log masuk

Langkah 2: Pilih ‘Wallets’ pada Menu

Langkah 3: Pilih ‘Deposit’ di ‘Malaysian Ringgit (MYR) Wallet’

Langkah 4: Ikuti langkah-langkah yang tertera di skin untuk

memindahkan wang ke Akaun Amanah Tokenize dengan UOB (M) Berhad. 

Langkah 5: Gunakan nama penerima ‘UTMB TRUST A/C FOR TOKENIZE TECHNOLOGY’

Proses ini mungkin mengambil masa sehingga dua hari bekerja dan anda akan dimaklumkan sekiranya berjaya. Platform Tokenize menawarkan cryptocurrency Bitcoin, Ethereum, XRP, dan Litecoin. 

Klik di sini untuk mengakses panduan yang terperinci. 

Yuran

Pada ketika ini, ‘taker fee’ adalah 0.8% dan ‘maker fee’ adalah 0%. Untuk maklumat terkini mengenai yuran di platform Tokenize, anda boleh melayari pautan ini. 

Alternatif Lain 

Walaupun ada cara lain untuk membeli dan menjual crypto seperti melalui ‘International Exchanges’ (misalnya: Binance) atau platform P2P (misalnya: Remitano), adalah lebih selamat untuk menggunakan tiga platform yang sah dan telah diluluskan oleh Securities Commission. 

Anda juga dinasihatkan untuk berhati-hati dengan ‘dealers’ yang ingin membeli atau menjual crypto secara langsung untuk mengelakkan risiko diperdaya oleh ‘scammers.’

Prinsip Pelaburan 

Walaupun terdapat risiko apabila anda melabur dalam cryptocurrency kerana ‘volatility’ harga, anda boleh mengurangkan risiko tersebut dengan mengikuti  prinsip-prinsip pelaburan. Dengan ini, anda tidak perlu melepaskan peluang untuk menjana keuntungan daripada crypto, semata-mata kerana rasa takut dengan risiko yang sedia ada.  

Antara prinsip-prinsip pelaburan ini adalah seperti berikut:

Simpanan Kecemasan Yang Mencukupi 

Pastikan anda mempunyai simpanan kecemasan (emergency funds) sekurang-kurangnya 6 bulan. Tujuan simpanan kecemasan adalah untuk menampung perbelanjaan bulanan anda sekiranya anda mengalami kekurangan pendapatan ataupun hilang sumber pendapatan.

Jumlah Pelaburan 

Satu prinsip pelaburan yang penting adalah ‘do not put all your eggs in one basket’, yang bermaksud jangan laburkan semua wang dalam satu aset sahaja. Diversifikasi adalah penting untuk mengurangkan risiko keseluruhan pelaburan. 

Anda juga perlu tahu selera risiko atau ‘risk appetite’ anda. Sekiranya anda seorang yang tidak selesa mengambil risiko yang tinggi, pelaburan yang besar dalam cryptocurrency mungkin tidak sesuai untuk anda. Dengan mengenal pasti selera risiko, anda boleh menetapkan berapa banyak daripada jumlah portfolio anda yang patut dilaburkan ke dalam cryptocurrencies.  

Selain daripada itu, anda juga boleh menggunakan system ‘Dollar Cost Averaging’, atau DCA, di mana anda melabur jumlah yang tetap setiap bulan dalam cryptocurrencies. Melalui DCA, anda boleh mengurangkan risiko pelaburan kerana harga akan berbeza setiap kali pelaburan dibuat.  

Ilmu Yang Mencukupi 

Selepas melabur, pastikan anda meluangkan masa untuk mengikuti berita terkini dalam ekonomi yang mungkin memberi kesan kepada pasaran crypto. Anda boleh menggunakan system seperti ‘TradingView’ untuk mengawasi pergerakan harga cryptocurrency anda. 

Selain daripada itu, anda juga menyertai komuniti cryptocurrency untuk belajar daripada pelabur yang lebih berpengetahuan supaya anda boleh mendalamkan ilmu tentang cryptocurrency. 

Sumber: tradingview.com

Kesimpulan

Pelaburan dalam cryptocurrency memang seronok. Tetapi, untuk mendapatkan pengalaman dan keputusan yang baik dalam pelaburan, pastikan anda mengikuti prinsip-prinsip pelaburan yang telah diterangkan dan jangan terperangkap dalam ‘FOMO’ atau Fear of Missing Out. Selamat berjaya! 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *